Yasmin Ahmad diserang angin ahmar

Pengarah filem terkenal, Yasmin Ahmad dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Pakar Damansara selepas pengsan ketika membentangkan kertas kerja di TV3, Bandar Utama, dekat sini.

Pengarah berusia 51 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan koma tetapi stabil.

Beliau dipercayai diserang angin ahmar dan mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Antara yang turut serta dalam sesi pembentangan kertas kerja di TV3 itu ialah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza.

Siti berkata, selepas kira-kira 15 minit membentangkan kertas kerja tersebut, pengarah itu mengadu tidak sihat, dan kemudiannya pengsan serta dikejarkan ke pusat perubatan itu pada pukul 3.45 petang.

"Sewaktu Yasmin pengsan, nafasnya berhenti seketika dan dia koma ketika dikejarkan di Pusat Perubatan Pakar Damansara," katanya ketika ditemui pemberita di pusat perubatan tersebut di sini.

Adik ipar Yasmin, Datuk Dr. Zakaria Zahari pada sidang akhbarnya menjelaskan, pengarah berasal dari Muar, Johor itu diserang angin ahmar, pendarahan di kepala dan koma.

Beliau meminta agar tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi tentang Yasmin yang kini dikatakan kritikal selepas menjalani pembedahan di bahagian kepala ekoran komplikasi tersebut.

"Buat masa ini, denyutan jantungnya banyak dibantu oleh ubat bagi membantu tekanan darahnya. Keadaannya agak kritikal, tetapi kami berharap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi. Ia bagi menghormati pihak keluarganya," ujarnya.

Yasmin yang juga Pengarah Kreatif Eksekutif di agensi pengiklanan, Leo Burnett sebelum ini diberitakan sihat dan membentangkan kertas kerja projeknya bersama Ketua Pegawai Operasi Prime Works Sdn. Bhd., Farisha Pawanteh, Pengarah Kreatif Media Prima Berhad, Peter Chin, Siti Nurhaliza serta suami, Datuk Khalid Mohd. Jiwa.

Petang ini, Pengarah filem Talentime itu heboh dikatakan 'meninggal dunia' dan berita itu tersebar dengan cepat kepada rakan-rakannya dan pihak media melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga laman sosial di Internet, Facebook.

- UTUSAN Yasmin Ahmad diserang angin ahmar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.