Mentaliti penonton dan stesen TV kita

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Televisyen (TV) merupakan medium yang paling berpengaruh dalam masyarakat kita pada hari ini.

Saluran TV terutamanya yang tidak berbayar ditonton lebih ramai penonton daripada segenap lapisan masyarakat.

TV bukan setakat menyalurkan berita dan maklumat, tetapi juga bahan-bahan hiburan.

Lazimnya, hiburan ringan seperti rancangan TV realiti, konsert, drama dan filem paling menjadi tumpuan para penonton.

Itu memang budaya orang kita, lagi ringan lagi bagus. Apa yang penting mereka mahu bersantai, barulah ada nilai hiburan di dalamnya.

Sebab itu, tidak hairanlah bab mencari pasangan hidup, memilih menantu atau mengaji al-Quran juga dijadikan rancangan TV realiti.

Walaupun ada rancangan yang disiarkan di stesen-stesen TV kita boleh dianggap ‘sampah sarap’, tetapi ia juga tidak menjadi soal.

Malah, jangan bimbang. Selepas itu, tentunya akan ada lebih banyak rancangan yang seumpama dengannya menyusul. Sebabnya, itu yang memang kita mahu.

Apa hendak jadi dengan para penonton mereka, itu bukan masalah stesen-stesen TV kita.

Sama ada para penonton kita akan menjadi semakin cerdik atau sebaliknya, itu juga tidak penting bagi mereka.

Senario itu tidak menghairankan kerana para penonton kita pula memang jenis yang tidak mahu ambil kisah.

Tayangkanlah apa juga rancangan, termasuklah yang memperbodohkan diri mereka sendiri. Itu tidak mengapa. Tidak terasa apa-apa pun.

Sebaliknya, kita pula tetap akan terus menonton TV tanpa mempersoalkan apa-apa juga bahan yang disajikan.

Paling ketara, rancangan-rancangan yang memperbodohkan kita seisi keluarga itu pula ditayangkan pada waktu perdana.

Ketika itulah segala macam lapisan manusia, tidak kiralah golongan yang profesional ataupun tidak profesional, ramai yang tercangak-cangak di depan TV.

Mahu mengambil tindakan atau boikot? Kesedaran kita mungkin belum sampai ke tahap itu lagi. TV amat penting dalam rumah selain dapur dan peti sejuk.

Jarang kita dengar isi rumah di negara ini yang tidak punya TV sendiri, malah ramai yang kini mampu melanggan TV berbayar.

Jadi, apa yang kita boleh lakukan? Mahu suruh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak?

Badan kerajaan itu pun mungkin tidak banyak yang boleh mereka lakukan. Kalau di RTM mungkin boleh, kerana mereka sama-sama ‘orang kerajaan’.

Semua orang boleh memilih rancangan apa yang patut ditonton. Kalau kecenderungan menonton kita itu jelas, maka itu adalah ‘isyarat’ buat stesen-stesen TV. Dalam hal ini, persoalannya di manakah kedudukan dan kecenderungan kita itu?

Dalam pada itu, pelbagai strategi promosi dan tawaran pakej menarik telah dilakukan untuk menambah pelanggan saluran TV berbayar.

Jika ramai yang melanggan atau menonton sesuatu rancangan TV itu, ramailah juga pengiklan yang akan tertarik. Apabila banyak iklan, maka banyaklah juga sumber pendapatan buat sesebuah stesen TV itu.

Soal mutu dan bahan pengisiannya, ia menjadi perkara nombor dua, tiga atau yang ke-10.

Apa yang penting, lagi banyak iklan, lebih bagus kerana itu adalah objektif stesen-stesen TV swasta kita.

Sudahlah dikenakan bayaran bulanan, stesen TV berbayar yang ada turut menayangkan iklan.

Mereka bukan sahaja meraih yuran langganan, tetapi juga pendapatan daripada iklan-iklan yang panjang berjela. Untung dan semakin untunglah nampaknya stesen-stesen TV swasta dan stesen TV berbayar kita yang sedia ada.

Bayaran langganan pula semakin lama semakin meningkat, biarpun bahan-bahan yang disiarkan entah berapa puluh kali telah diulang siar.

Ia seolah-olah macam tiada bezanya dengan saluran TV percuma dan yang berbayar. Anehnya, seperti tidak pernah pula kedengaran kita mengeluh atau membantah dalam isu ini.

Soal tanggungjawab sosial pula, tolak ke tepi sahaja. Kalau ada pun, mungkin RTM sahaja yang lebih memikul tanggungjawab sosial tersebut. Ini kerana, apalah pentingnya perkara yang tidak menguntungkan itu kalau hendak dibandingkan dengan iklan.

Justeru dalam hal ini, sebagai penonton kita seharusnya semakin bijak dan selektif dalam memilih rancangan dan saluran TV.

Ia bagi memastikan supaya bahan-bahan tontonan di TV memberi manfaat bagi mempertingkatkan lagi ilmu dan mentaliti kita.

Pada masa sama, stesen-stesen TV juga haruslah bijak dalam mengadun antara resipi mengaut keuntungan dan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Kalaulah pendekatan ini dapat dilaksanakan, kita bukan setakat mampu mendidik para penonton supaya menjadi lebih cerdik.

Malah, matlamat keuntungan stesen-stesen TV juga tetap akan dapat diraih, sesuai dengan peranan yang sepatutnya mereka laksanakan itu. Mentaliti penonton dan stesen TV kita

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.