Karnival Pendidikan R.E.A.L 2009

YAYASAN R.E.A.L dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan R.E.A.L sedang giat berusaha menganjurkan karnival amal R.E.A.L One Malaysia Fun Weekend yang akan diadakan pada 8 dan 9 Ogos ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Karnival hujung minggu itu telah menjadi salah satu karnival amal terbesar di Malaysia dan bakal dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, permainan, persembahan jalanan, gerai makanan serta hiburan secara langsung.

Menurut kenyataan Yayasan R.E.A.L, acara keluarga akan mengetengahkan berbagai-bagai aktiviti termasuk hiburan dengan persembahan menakjubkan. Anak-anak boleh bergembira di pelbagai gerai permainan atau mengambil bahagian dalam pertandingan futsal. Di samping itu, pameran tentang kepentingan pendidikan kepada generasi muda akan turut diadakan.

Dalam usaha mereka yang tidak pernah kenal jemu membantu golongan muda yang memerlukan, R.E.A.L One Malaysia Fun Weekend akan menampilkan hiburan besar-besaran dengan persembahan daripada Alleycats, Sons of Adam dan ramai lagi artis tempatan.

Turut serta memeriahkan karnival itu nanti adalah Jump, sebuah kumpulan seni pertahanan diri terkemuka Korea yang memasukkan unsur-unsur komedi dalam persembahan mereka.

Pertandingan R.E.A.L Kids Talent Quest 2009 juga akan bermula semasa karnival R.E.A.L One Malaysia Fun Weekend itu nanti. Pertandingan ini membolehkan kanak-kanak R.E.A.L Kids menonjolkan bakat mereka untuk menjuarai hadiah utama.

Selain itu, Kolej Antarabangsa Alfa turut membantu usaha kutipan derma dengan mengendalikan sudut kreatif khas untuk pertandingan kitar semula.

Pengasas Kumpulan Pendidikan R.E.A.L, Sim Quan Seng berkata, salah satu elemen asas terpenting bagi kanak-kanak adalah pendidikan sempurna dan persekitaran pembelajaran yang positif.

"Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa terdapat ramai kanak-kanak yang tidak mampu untuk mendapatkan pendidikan terbaik. Kita bukan setakat ingin memberikan mereka ilmu, tetapi turut ingin menanamkan nilai-nilai murni dan membina jati diri mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, The R.E.A.L One Malaysia Fun Weekend bertujuan menghubungkan keluarga dan kanak-kanak bagi menyokong Yayasan R.E.A.L dan membantu mereka mengumpul dana yang cukup untuk membiayai pendidikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik demi masa depan generasi akan datang yang lebih cemerlang.

Katanya, hasil kutipan R.E.A.L One Malaysia Fun Weekend itu akan digunakan untuk membantu Yayasan R.E.A.L mengorak langkah dengan inisiatif baru iaitu mengenal pasti keperluan pendidikan di rumah anak-anak yatim dan kemudiannya menyediakan sumber-sumber yang bersesuaian.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 03-2093 6905 atau layari www.R.E.A.Lfoundation.org.my Karnival Pendidikan R.E.A.L 2009

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.