Kapal persiaran terbesar di dunia


Selepas pembinaan Eclipse kira-kira dua tahun lalu, kapal milik jutawan terkemuka Rusia, Roman Abramovich kini menerima sentuhan-sentuhan terakhir sebelum dilancarkan sebagai kapal pesiar peribadi terbesar di dunia.

Jentera pelayaran berukuran 170 meter panjang yang dijangka diserahkan kepada Abramovich selewat-lewatnya pada 2010 itu bakal memecahkan rekod kapal pesiar terbesar pada masa kini, Dubai yang dimiliki pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum berukuran 161 meter panjang.

Kerja-kerja menyiap dan menghias Eclipse kini giat dilakukan di limbungan milik Blohm & Voss di Hamburg, Jerman iaitu syarikat perkapalan yang sama menghasilkan Bismark, kapal perang milik tentera British yang paling digeruni suatu ketika dahulu.

Dilindungi sepenuhnya daripada tontonan umum, pembinaan kapal pesiaran keempat milik taikun minyak itu dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya AS$350 juta (RM1.25 bilion). Tiga lagi kapal milik Abramovich adalah Pelorus yang berukuran 377 kaki panjang, Ecstasea (282 kaki) dan Sussurro (160 kaki).

Seperti yang dilaporkan oleh media Jerman baru-baru ini, pelayaran pertama Eclipse akan membawa Abramovich dan teman wanitanya, Daria Schukowa ke Afrika Selatan untuk menyaksikan Piala Dunia pada tahun depan.

Berbeza dengan kapal-kapalnya yang lain, Eclipse bukan sekadar kapal pesiar biasa. Dengan saiz hampir menyamai kapal Queen Mary II, ia dilengkapi dengan segala kemewahan seolah-olah sebuah mahligai di tengah-tengah lautan.

Bukan sembarangan. Eclipse yang mempunyai kuasa kelajuan 40 knots itu dilengkapi sistem perlindungan anti peluru berpandu yang berfungsi 24 jam melindungi anak-anak kapal daripada sebarang ancaman dari udara.

Selain itu, sebagai jaminan keselamatan peribadi lelaki kedua paling kaya di Rusia itu, Abramovich juga menempah sebuah bilik persembunyian seluas 5,000 kaki persegi yang dibina dengan dinding dan tingkap kalis peluru.

Paling menarik, Eclipse dilengkapi sebuah kapal selam yang tersembunyi di bawah perut kapal bagi membolehkan pemiliknya melarikan diri tanpa disedari sekiranya berlaku serangan lanun.

Kelengkapan lain termasuk dua tempat pendaratan helikopter, tiga bot pelancar dan 20 jet ski. Sebagai mahligai bergerak, ia mempunyai dua kolam renang, panggung wayang, disko dan restoran.

Dengan segala kemewahan tersebut, kos tahunan untuk menggerakkan jentera yang memerlukan sekurang-kurangnya 70 anak kapal itu dianggarkan mencecah AS$20 (RM 70 juta.

Sebelum ini, kos setangki minyak untuk kapal Pelorus sahaja sudah mencecah AS$ 120,000 (RM420,000).

Tetapi perbelanjaan setinggi itu bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa bagi lelaki berusia 42 tahun itu. Seperti yang dilaporkan majalah Forbes pada Mac lalu, pemilik kelab Chelsea itu mempunyai kekayaan bernilai AS$8.5 bilion (RM29.75 bilion) menjadikannya manusia ke 51 terkaya di dunia.

Menggunakan tiga kapal yang sedia ada, Abramovich sebelum ini sering dilihat membawa rakan, pemain Chelsea, penaja pasukan dan rakan perniagaannya ke beberapa lokasi kegemaran seperti Monaco, Portofino, Cannes, Amerika Selatan dan Kepulauan Caribbean.

Sementara itu, pembelian kapal pesiar mega itu turut melonjak reputasi jutawan Rusia sebagai golongan kedua terbesar di dunia yang memiliki kapal-kapal paling mewah selepas jutawan Arab (yang memiliki empat kapal terbesar di dunia ketika ini).

Broker syarikat perkapalan Nigel Burgess, Jonathan Beckett berkata, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada tempahan kapal yang melebihi saiz 200 kaki panjang datang daripada jutawan Rusia.

"Sambutan yang ditunjukkan mereka sekarang sama seperti yang ditunjukkan oleh jutawan Arab semasa harga minyak dunia melambung sekitar 1970-an.

"Cuma bezanya orang Rusia lebih mementingkan teknologi dan mahukan sebuah kapal yang benar-benar canggih," ujarnya.

Menurut Beckett, Eclipse tidak akan menggunakan warna putih seperti kebanyakan kapal-kapal biasa sebaliknya akan dilindungi kelabu metalik.

"Ia adalah trend terbaru bagi sebuah kapal pesiar mewah. Dihasilkan mirip-mirip seperti sebuah kapal perang sebagai lambang kuasa pemiliknya," tambahnya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.