Jenazah Mohammad Hazzerry Mohan dikebumi sebagai orang Islam


Jenazah Mohan Singh akan dikebumikan sebagai seorang Islam selepas Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini menolak permohonan keluarganya bagi menuntut mayat pengarah seni bebas itu dari Hospital Sungai Buloh untuk dikebumikan mengikut agama asal.

Hakim Rosnaini Saub memutuskan demikian dengan alasan mahkamah menerima Sijil Akuan Masuk Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Pulau Pinang bahawa Mohan, 41, telah memeluk Islam pada tahun 1992, sebagai satu bukti yang mencukupi.

Dalam penghakiman setebal 29 muka surat itu, beliau turut menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada Mohan masih seorang Islam atau sebaliknya semasa beliau meninggal dunia.

Katanya, ia jelas mengikut Seksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 serta Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

''Tiada sebab untuk mahkamah tidak menerima bukti bahawa dia telah memeluk Islam kerana tiada apa-apa bukti menunjukkan bahawa Sijil Akuan Masuk Islam itu palsu.

"Tindakan memeluk Islam yang berlaku di luar pengetahuan pemohon itu juga bukan bererti ia tidak berlaku.

''Oleh kerana saya telah mendapati bahawa sijil itu membuktikan dia telah memeluk Islam pada 1992, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada dia masih seorang Islam atau tidak semasa kematiannya.

''Dalam keadaan ini, tindakan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah Hospital Sungai Buloh yang tidak membenarkan mayat tersebut dituntut oleh pemohon dan merujuk perkara itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (JAIS) adalah tindakan yang wajar dan munasabah,'' katanya.

Hakim Rosnaini juga menolak permohonan keluarga Mohan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu dan membatalkan perintah interim (sementara) yang sekali gus membolehkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menuntut jenazah Mohan dan dikebumikan mengikut hukum syarak.

Sebaik mahkamah membuat keputusan itu, beberapa ahli keluarga Mohan yang hadir mengikuti prosiding hari ini dilihat menangis dan berpelukan sesama sendiri.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MAIS, Rohana Hassan semasa ditemui di luar mahkamah memaklumkan, jenazah Mohan akan dituntut dari Hospital Sungai Buloh dan dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh hari ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, jenazah allahyarham akan diserahkan terlebih dahulu kepada keluarganya di Selayang bagi membolehkan beliau diberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan sebagai seorang Islam.

Mohan Singh a/l Janto Singh atau nama Islamnya, Mohammad Hazzerry Mohan Abdullah meninggal dunia pada 25 Mei lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini.

Berikutan timbul perebutan serta pertikaian, MAIS telah bertindak segera memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada sebelah petang hari Mohan meninggal dunia untuk mendapatkan pengesahan status pengislamannya.

Keluarga Mohan yang diwakili peguam Rajesh Kumar pula memohon perintah injunksi sementara di Mahkamah Tinggi Sivil bagi menghalang mana-mana pihak bertindak mengeluar atau mengalihkan jenazah Mohan.

Mereka turut memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah tersebut bagi menuntut perintah bahawa keputusan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah hospital itu yang menahan mayat lelaki berkenaan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang.

Walaupun Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan Mohan adalah seorang Islam pada 4 Jun lalu, namun MAIS tidak dapat menuntut jenazahnya berikutan perintah larangan sementara yang dikeluarkan tiga hari sebelumnya oleh Hakim Rosnaini supaya tiada pihak bertindak mengeluar atau mengalihkan mayat dari hospital itu sehingga prosiding kes tersebut selesai sepenuhnya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.