Berhenti selepas 35 tahun merokok

Dia seorang ikon yang popular dengan genre muzik afro-asian. Kini, sekali lagi penyanyi tanah air ini berkongsi pengalaman yang mungkin turut dialami jutaan rakyat Malaysia. Tubuh badannya yang semakin sihat walaupun mencecah umur separuh umur ini mengundang tanda tanya, apa resipi penjagaan kesihatannya. Ironinya, dia juga seperti orang lain, ada tabiat merokok yang memberi pelbagai impak terhadap kesihatan.

Ingin memperbaiki kesihatan diri, Zainal Abidin, 51 berjaya secara berperingkat-peringkat meninggalkan tabiat tersebut. Bekas penyanyi Headwind ini melakukannya atas inisiatif sendiri dan bukan atas desakan sesiapa.

35 tahun merokok bukan suatu rutin yang mudah untuk dilupa.

"Jika kita ingin berhenti merokok, jangan fikir tentang orang lain. Lakukan demi diri sendiri," katanya.

Seperti kebanyakan remaja hari ini, Zainal juga sudah mencuba untuk merokok pada usia awal iaitu ketika berumur 13 tahun,

Berkongsi pengalaman, pada awalnya Zainal pernah cuba berhenti merokok menggunakan sejenis ubat kapsul tetapi hanya separuh jalan.

Kini setelah berhenti merokok berperingkat-peringkat, dia dapat bertahan selama tiga tahun untuk tidak merokok sehingga sekarang.

Zainal mengakui, ia memberi kesan yang baik kepada kesihatan.

Malah, katanya, dia semakin seksi selepas berhenti merokok.

"Mungkin pada awal, kita tidak dapat rasa kesan buruknya. Namun lama-kelamaan, kita akan tahu sendiri. Bayangkan dulu saya boleh menyanyikan 44 buah lagu tanpa henti selama empat jam," katanya di majlis ceramah sempena kempen Tanpa Tembakau anjuran Pusat Perubatan Topicana, Kota Damansara baru-baru ini.

Lebih mengejutkan penyanyi yang tidak pernah diserang penyakit ini, diuji apabila dia tiba-tiba diserang penyakit jantung kira-kira tiga bulan lalu.

"Doktor mengesahkan ketika itu arteri utama jantung saya ada masalah serius. Akhirnya, saya akur untuk menjalani pembedahan membesarkan saluran arteri saya.

Mungkin sebelum ini, Alhamdulillah saya dianugerahkan kesihatan yang baik walaupun merokok. Namun, pengalaman ini benar-benar menguji saya sekeluarga," katanya yang menjalani rawatan jantung di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur.

Dengan perlahan dia menambah, punca sebenar penyakitnya kerana terlalu lama merokok.

Sebelum diserang penyakit berbahaya ini, Zainal sering mengalami sesak nafas namun kerana faktor persekitaran, dia tidak berhenti merokok.

"Ternyata sebagai artis bukan mudah untuk berhenti merokok. Apatah lagi dikelilingi dengan ramai perokok. Bayangkan 50 peratus rakyat Malaysia adalah perokok. Sebab itulah ramai yang mudah termakan pujuk untuk menghisap semula. Tapi kita perlu berazam untuk mencuba. Hakikatnya, mencegah lebih daripada merokok," katanya.

Zainal mengakui banyak perbezaan dan kebaikan berhenti merokok.

"Kini saya dapat rasakan makanan lebih sedap. Bukan itu sahaja diri sendiri lebih selesa.

Jika dulu kulit kepala, rambut dan badan kering. Saya masih ingat lagi dulu baju saya tidak boleh dipakai berjam-jam. Jika tidak kulit saya akan bermasalah sehingga keluar panau," jelasnya.

Nasihat Zainal kepada orang ramai yang tidak menghisap rokok, janganlah cuba untuk merokok.

Dia mengumpamakan ia sebuah hubungan yang susah untuk bercerai kerana jalinan ini tiada istilah talak.

Tip berhenti merokok:

- Buat keputusan untuk berhenti merokok dan maklumkan kepada ahli keluarga dan sahabat anda.Perasaan mahu berhenti merokok akan menjadi lebih mudah dengan sokongan serta galakan mereka.

- Buang semua rokok, mancis, pemetik api dan bekas abu rokok

- Belajar menolak tawaran orang lain untuk merokok. Jauhi orang yang sedang merokok

- Tarik nafas panjang-panjang untuk menenangkan perasaan, minum air sejuk atau mandi sekiranya berasa gian untuk merokok.

Kuatkan semangat anda. Jangan mudah menyerah kalah

- Minum lebih banyak air, elakkan minuman keras, kopi dan lain-lain minuman yang boleh merangsang anda untuk merokok

- Makan lebih banyak sayur-sayuran serta buah-buahan

- Libatkan diri dengan hobi atau kegiatan luar seperti berenang, berjalan, joging dan sebagainya untuk memenuhi masa lapang.

- MINGGUAN Berhenti selepas 35 tahun merokok

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.