PRK Manek Urai - UMNO dekati rakyat secara bersemuka

Jentera penerangan UMNO dilancarkan hari ini bagi menghadapi Pilih Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang turut menguji keberkesanan perancangan mendekati rakyat setempat secara bersemuka.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 3,500 buah rumah di kawasan itu untuk dikunjungi bagi memujuk pengundi bersama dengan perjuangan UMNO demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata, Manek Urai yang mempunyai lebih 99 peratus pengundi Melayu mampu menjadi medan bagi membuktikan mereka kembali bersatu menerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Konsep penerangan akan diperluaskan dengan turut mengembalikan pendekatan silam iaitu mendekati rakyat serapat-rapatnya.

"Usaha mendekati bukan lagi sekadar berceramah di bawah khemah tetapi bersemuka secara terus walau di mana mereka berada termasuk di kebun getah, sungai, di kedai kopi dan di padang," ujarnya.

Beliau berucap pada majlis pertemuan dengan jentera Penerangan UMNO Kelantan bagi membincangkan isu-isu semasa yang akan diberi penekanan dalam pilihan kecil itu di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 6 Julai manakala pengundian pada 14 Julai.

Pilihan Raya Kecil Manek Urai bakal diadakan ekoran wakil rakyatnya dari Pas, Ismail Yaacob meninggal dunia pada 22 Mei lalu kerana serangan sakit jantung.

Ahmad menjelaskan, sejarah pilihan raya membuktikan menang atau tewasnya UMNO dan BN bergantung kepada sejauh mana perpaduan dalam parti dan bukannya kerana kekuatan lawan.

Sehubungan itu beliau percaya, dengan berlakunya perubahan kepimpinan parti di peringkat negeri dan negara, ia akan memberi nafas dan semangat baru kepada seluruh jentera parti untuk memastikan kemenangan.

''Manek Urai tentunya satu ujian sejauh mana perpaduan dapat diperkukuhkan sebagai asas kepada perubahan yang lebih besar dalam pilihan raya umum kelak," ujarnya.

- UTUSAN PRK Manek Urai - UMNO dekati rakyat secara bersemuka

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.