Nasharudin: PAS tiada niat sertai Umno, BN

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang dilabel "sebagai terlalu liberal ke arah Umno" susulan pilihan raya umum 2008, hari ini menegaskan, kepimpinan parti itu tiada niat langsung untuk sertai Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya ambil kesempatan di sini untuk sekelian kalinya menegaskan bahawa pemimpin tertinggi parti tidak pernah punya sebarang niat atau perancangan untuk masuk Umno atau BN.

"Dan, saya amat percaya adik-adik saya di dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," kata beliau ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-50 di sini, malam ini.

Nasharudin yang menjadi sasaran kecaman sebahagian pemimpin PAS ekoran langkah beliau mengorak perbincangan menjalin hubungan dengan Umno berkata, pihaknya akan mempertahankan parti itu daripada sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jemaah.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menentang sebarang usaha ke arah menjalin hubungan dengan Umno dan BN.

"Islam yang kita perjuangkan ini diambil nasnya dari al-Quran dan al-Sunnah.

"Al-Quran dan al-Sunnah lah yang mengajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula untuk berdamai," kata Nasharudin.

Sehubungan itu, Nasharudin yang berhadapan dengan saingan daripada dua calon Jumaat ini memberitahu:

"Sekali saya menegaskan bahawa prinsip dan dasar Islam yang kita perjuangkan akan sekali-kali tidak berganjak.

"Namun kaedah dan uslub boleh diubah. Akan kita perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita ijtihadkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan Umno dan BN."

Dalam pada itu, Nasharudin juga berkata, imej PAS sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula.

"PAS bukan sekadar parti pembangkang - asal bantah sahaja semua tindakan parti kerajaan tetapi PAS kini adalah sebuah parti Islam yang telah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdekat dan membawa pimpinan alternatif kepada seluruh Malaysia dengan izin Allah.

"Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan," katanya.

- MSTAR Nasharudin: PAS tiada niat sertai Umno, BN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.