Kualiti udara seluruh Malaysia bertambah baik


Kualiti udara di seluruh negara semakin pulih dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan juga berada di tahap baik.

Bacaan IPU yang disiarkan dalam laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga pukul 5 petang ini, tidak berubah seperti bacaan pada 11 pagi tadi di mana 39 kawasan kekal di tahap baik manakala 11 kawasan menunjukkan bacaan sederhana.

Tiga kawasan - Putrajaya, Shah Alam dan Petaling Jaya yang mencatatkan bacaan IPU sederhana pagi ini menunjukkan peningkatan apabila bacaannya menurun ke tahap baik iaitu 49, sementara Shah Alam dan Petaling Jaya masing-masing 42.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi berkata jumlah tompok panas di Semenanjung menurun kepada enam berbanding tujuh pagi tadi manakala Sarawak meningkat kepada 27 tompok panas berbanding enam pagi tadi.

Satu tompok panas juga dikesan di Sabah, manakala di Sumatera hanya 28 berbanding 99 pagi tadi dan Kalimantan meningkat daripada 11 kepada 41 tompok panas petang ini.

Jarak penglihatan di semua kawasan juga melebihi 10 kilometer kecuali di Cameron Highlands sembilan kilometer.

Klasifikasi bacaan IPU ialah seperti berikut: 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

- BERITA HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.