Jiwa Baru didik cara rawat penagihan dadah

Pelancarannya dilaksanakan setahun lalu namun sejauh mana Jiwa Baru mampu mendekati masyarakat?

Jiwa Baru mungkin masih dianggap mentah namun kempen untuk mendidik masyarakat mengenai pandangan mereka terhadap kebergantungan opioid, nyata usaha yang tidak harus dipandang remeh.

Kempen kemasyarakatan ini giat menggalakkan rawatan untuk kebergantungan opioid di samping menyokong usaha pencegahan yang dijalankan badan kerajaan dan bukan kerajaan.

Jiwa Baru yang diterajui Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (Amam), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dengan sokongan Schering-Plough Sdn Bhd itu disasarkan kepada masyarakat dengan fokus mendekati individu utama seperti ahli keluarga, rakan dan rangkaian sosial, pesakit serta ahli profesional perubatan yang berminat.

Tahun lalu, kempen Jiwa Baru berjaya menarik 3,161 pengunjung yang melayari laman webnya serta menerima 328 panggilan telefon sekali gus membolehkan hampir 3,300 individu yang mendapatkan maklumat mengenai cara merawat masalah penagihan dadah selain dirujuk kepada doktor terlatih dalam bidang berkaitan.

Ia melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk pertandingan filem pendek yang menggalakkan penggiat filem dan pelajar menyelami masalah penagihan dadah.

Harus difahami ketagihan kepada opioid adalah sejenis masalah perubatan kronik berulang yang memerlukan rawatan jangka panjang dan sokongan kepada pesakit.

Matlamat utama rawatan bagi ketagihan berkenaan adalah membolehkan pesakit menguruskan gejala penyakit dan mengawal ketagihan mereka. Dalam hal ini, ubat memainkan peranan penting untuk menguruskan kesan jangka pendek dan jangka panjang ketagihan.

Untuk jangka pendek, ubat boleh memberikan kelegaan peringkat awal terhadap masalah keinginan mengambil opioid dan mengurangkan gejala tarikan apabila heroin dan opioid dihentikan.

Ubat juga memainkan peranan penting untuk jangka panjang. Namun, ia langkah seterusnya adalah mengelakkan diri daripada terjebak sekali lagi dalam masalah ketagihan ini.

Mengurangkan risiko penagihan semula adalah sesuatu yang harus dipelajari oleh penagih opioid. Justeru, salah satu fungsi penting kaunseling dalam rawatan adalah membantu pesakit mengelakkan keadaan yang mencetuskan keinginan sekali gus meningkatkan risiko mereka menagih dadah semula.

Sejak pertengahan 1970-an, penyelidikan saintifik mendapati rawatan boleh membantu orang ramai mengubah tabiat dan menahan diri daripada penyalahgunaan serta penagihan dadah sepanjang hayat.

Berasaskan penyelidikan berkenaan, beberapa prinsip penting dikenal pasti iaitu:

# Rawatan mesti disediakan dan mudah didapati.

# Campur tangan, penetapan dan khidmat rawatan perlu disesuaikan kepada keperluan khusus pesakit.

# Rawatan harus menangani faktor yang menjadi punca penggunaan dadah seperti masalah perubatan, sosial, psikologi dan undang-undang.

# Terapi kaunseling atau tingkah laku sebagai komponen penting dalam proses rawatan.

# Penyahtoksinan perubatan mesti diikuti rawatan penyenggaraan dan penstabilan untuk mengubah tabiat penggunaan dadah jangka panjang.

# Program rawatan harus meliputi terapi bagi jangkitan seiring seperti HIV dan hepatitis C.

Mereka yang ingin mengetahui pilihan rawatan kebergantungan terhadap dadah, boleh menghubungi talian 1300-80-7777, e-mel help@jiwabaru.com atau layari www.jiwabaru.com.my Jiwa Baru didik cara rawat penagihan dadah

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.