CyberSecurity kaji lesen bagi pengguna internet

Cybersecurity Malaysia, pusat pakar kebangsaan bagi keselamatan siber sedang menimbangkan cadangan untuk mewujudkan sistem lesen kepada pengguna internet bagi membendung ancaman siber, terutama perbankan internet.

Lesen dalam bentuk persijilan itu, yang disasar kepada pengguna muda lebih kepada satu bentuk persediaan dan pengetahuan asas mengenai aspek keselamatan ketika melayari internet.

Ketua Eksekutif CyberSecurity, Husin Jazri, berkata cadangan itu pada peringkat awal dan ia dijangka dibincangkan pada Pameran dan Persidangan CyberSecurity SecureAsia@KL, persidangan keselamatan siber kebangsaan yang diadakan pada 6 hingga 8 Julai ini.

Beliau berkata, cadangan untuk mewujudkan sistem lesen itu bukan bertujuan menyekat kebebasan pengguna internet untuk melayari laman web, tetapi lebih kepada aspek keselamatan susulan meningkatnya ancaman siber.

"Perkara ini (mewujudkan sistem lesen) sudah dilaksanakan di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang menampakkan kesan positif terhadap aspek keselamatan siber," katanya pada sidang media mengenai Pameran dan Persidangan CyberSecurity - SecureAsia@KL di Kuala Lumpur, semalam.

Husin berkata, cadangan itu akan dibentangkan pada pameran berkenaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membolehkannya dibincangkan di peringkat nasional termasuk mendapatkan maklum balas orang ramai.

"Apa yang pasti, kami sedang memperkemaskan idea untuk mewujudkan lesen itu untuk membantu pengguna internet memahami lebih mendalam aspek keselamatan daripada ancaman siber yang dilihat turut menyumbang kerugian kepada individu dan perniagaan," katanya.

Mengulas mengenai kes ancaman siber di negara ini, Husin berkata, jumlahnya didapati meningkat tetapi masih terkawal dan tidak membimbangkan.

"Jumlah pengguna internet di Malaysia yang kini mencecah 10 juta orang jauh mengatasi jumlah kes ancaman siber, justeru, secara nisbahnya ia masih terkawal," katanya.

Husin berkata, tiga ancaman siber utama di Malaysia ialah 'phishing' dalam perbankan internet, perniagaan dagang dan serangan spektrum frekuensi nasional.

- BERITA HARIAN CyberSecurity kaji lesen bagi pengguna internet

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.