Buku - Berdialog Dengan Jin: Diari Seorang Perawat

Tajuk: Berdialog Dengan Jin: Diari Seorang Perawat

Harga: Sem Malaysia RM31.90/ Sabah & Sarawak RM33.90

Penerbit: Hijjaz Records Publishing

Penulis: Abd Majid Hassan

Cetakan Pertama: 2009

Makhluk halus ialah makhluk dicipta Allah tanpa jisim dan biasanya tidak dapat dilihat mata atau dirasa dengan tangan, namun ia hidup di alamnya iaitu alam ghaib.

Kejadian makhluk ini daripada cahaya dan api. Malaikat yang sentiasa taat kepada perintah Allah berasal daripada cahaya, manakala golongan jin, iblis dan syaitan daripada api.

Antara hikmah diciptakan makhluk halus ini ialah untuk menguatkan iman seseorang kepada Allah serta menguji keimanan dan keyakinan kepada Yang Maha Kuasa. Dengan itu juga manusia sentiasa berwaspada terhadap musuh yang tidak kelihatan.

Di dalam al-Quran ada disebutkan pelbagai sifat dan tabiat makhluk halus, bahkan ada yang cerdik, bertuah, lalai dan lemah fikiran.

Bagi masyarakat Melayu umumnya makhluk halus lebih kerap dirujuk kepada syaitan, iblis dan jin, seolah-olah malaikat tidak termasuk di dalam kategori terbabit, sehingga apabila menyebut perkataan itu ia suatu yang menyeramkan.

Pengasas Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan (Akrine), Abd Majid Hassan, berkongsi persoalan ini dengan pembaca melalui buku ditulisnya bertajuk Berdialog Dengan Jin: Diari Seorang Perawat.

Dalam buku ini, beliau menceritakan segala-galanya mengenai makhluk halus terutama membabitkan alam jin.

Jin tergolong kepada dua iaitu jin Islam dan kafir. Termasuk dalam golongan jin kafir ialah iblis dan syaitan.

Syaitan adalah musuh manusia, sebagaimana ditegaskan al-Quran: "dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu..." (al-Baqarah:168)

Iblis pula bersumpah untuk menggoda manusia dari setiap penjuru seperti dijelaskan dalam ayat 16 dan 17 surah al-A'raaf: "Iblis berkata: Oleh kerana Engkau menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus.

"Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

Al-Quran juga ada menyingkap mengenai makhluk halus membabitkan jin yang beriman kepada Allah selepas kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w seperti disebut dalam surah al-Jinn.

Walau bagaimana rupa jin, ia diciptakan Allah untuk menyembah-Nya seperti juga manusia yang sama-sama diberikan akal fikiran dan ikhtiar. Perbuatan baik dan jahat mereka akan dihisab.

Buku ini mempunyai sedikit kelainan berbanding yang lain kerana ia turut menyingkap pengalaman seorang perawat dengan makhluk halus. Dialog dan pengalaman perawat jarang diperkatakan kepada umum.

Sudah tentu pengalaman peribadi itu memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada pembaca, tetapi ia tidak sama sekali bertujuan menakutkan pembaca, malah tidak lebih sekadar pengetahuan untuk dikongsi bersama. Buku - Berdialog Dengan Jin: Diari Seorang Perawat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.