Tuah menu sardin dan bilis


Meskipun makanan masalah utama, delegasi tiga pelajar dan tiga guru Malaysia berjaya menggondol tiga pingat emas pada festival anjuran Environment Online (ENO) menewaskan pelajar dari 80 negara lain.

Mereka hanya makan nasi berlaukkan sardin dan ikan bilis sepanjang berada di Helsinki, Finland.

Namun, itulah yang menjadi pemangkin kepada semangat delegasi tiga pelajar dan tiga guru Malaysia yang mengharumkan nama negara apabila berjaya menggondol tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Universiti Joensuu, minggu lalu.

Tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Baling itu ialah Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, dan Som Jud a/l Muniandy, 16, serta tiga guru pembimbing yang diketuai S. Kalaimani dari SMK Teloi Kanan, Roslee Abd.Hamid (SK Telok Teduri, Baling) dan S. M Ramesh (SMK Batu Kawan, Pulau Pinang).

Menurut Kalaimani, makanan merupakan masalah utama mereka sepanjang berada di sana, namun mereka bernasib baik kerana dibenarkan memasak makanan di dalam bilik penginapan.

"Selain nasi yang dimasak menggunakan periuk nasi elektrik, sardin dan ikan bilis adalah hidangan utama kami.

"Kadangkala mi segera turut menjadi juadah menggantikan roti sebagai usaha berjimat-cermat memandangkan harga makanan yang mahal," katanya pada sidang media menyambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam.

Ketibaan pelajar terbabit pada pukul 10 pagi di LTAPP baru-baru ini, disambut dengan bunga manggar dan kain rentang serta muzik nafiri oleh kira-kira 100 pelajar yang datang sejak awal pagi dari Kedah.

Tambah Kalaimani, mungkin sardin dan ikan bilis itulah yang memberi tuah kepada pelajar terbabit untuk mendapat pingat emas dalam festival anjuran Environment Online (ENO) menewaskan pelajar dari 80 negara lain.

Tiga projek yang dibentangkan oleh pelajar terlibat ialah Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air membabitkan penglibatan pelajar di Kuala Gula, Perak.

Projek penanaman pokok bakau yang disasarkan lebih sejuta pokok bakau itu melibatkan kawasan di pesisir Kuala Gula, Perak dan Padang Salim, Kuala Muda, Kedah. Ia merupakan antara kandungan pembentangan kertas kerja tersebut.

Festival yang berlangsung di Arena Joensuu dan disaksikan 2,000 pengunjung itu menawarkan pingat emas kepada peserta yang banyak menyumbang dan mampu memberikan idea, inovasi terbaik dalam aktiviti alam sekitar khususnya di peringkat antarabangsa.

Wakil pelajar, Mohd. Khairul Effendi ketika ditemui berkata, mereka tidak menyangka usaha pemuliharaan alam sekitar mendapat pengiktirafan dunia.

Selepas kejayaan itu, gerai yang menempatkan bengkel pelajar Malaysia dikerumuni pengunjung yang mahu mengetahui lebih dekat kertas kerja yang dibentangkan itu.

Lebih membanggakan, penonjolan peserta Malaysia dalam bengkel tersebut dengan memakai pakaian kebangsaan turut mendapat perhatian pengunjung.

Sementara itu, Khairul yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, beliau bangga dapat menaikkan nama Malaysia di mata dunia dan bersaing bersama pelajar-pelajar lain.

"Kami juga menjadi duta kecil Malaysia kerana turut mempromosikan pelancongan, makanan dan permainan tradisi Malaysia seperti kuih baulu, kuih siput dan maruku serta sepak raga ketika di sana.

"Malah saya berhasrat melanjutkan pelajaran ke Finland sekiranya diberi peluang selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagi menghargai sumbangan pelajar-pelajar terbabit, pihaknya akan menganjurkan Hari Alam Sekitar di Baling dan Sik, Kedah Jun ini.

"Antara pengisian sepanjang sebulan itu ialah aktiviti gotong-royong, menanam pokok dan program bersama masyarakat di kedua-dua buah daerah.

"Jadi saya menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik bersama-sama merealisasikan program tersebut demi kebaikan bersama," jelasnya.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.