Temubual dengan Anwar Ibrahim - Tuntutan rakyat mahu perubahan

Pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilihat langsung tidak memberi sebarang signifikan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memancing undi rakyat dalam tiga pilihan raya kecil yang berakhir kelmarin. BN hanya mampu mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Kecil (DUN) Batang Ai yang diwakili Malcolm Mussen Lamoh dengan majoriti 1,854 undi.

Manakala kemenangan berganda Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas) di Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 2,789 undi dan S Manikumar (PKR) di DUN Bukit Selambau dengan majoriti 2,403 menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.

Ikuti sidang media Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan keputusan tiga pilihan raya kecil di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Apakah perasaan Datuk seri apabila PR memenangi dua daripada tiga kerusi pada pilihan raya kecil?

ANWAR: Pertama sekali saya mengucapkan syabas kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Undian yang diberikan untuk PR menjadi saksi akan kemahuan rakyat yang kuat menuntut perubahan. Tahniah kepada calon dan petugas PR kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini. Kemantapan kerjasama di antara PKR, Pas dan Dap semakin hari semakin utuh.

Apakah faktor yang menyumbang kepada kemenangan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau?

ANWAR: Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan PR untuk terus menerajui perjuangan menuntut perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama. Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan perubahan yang nyata.

Bagaimana Datuk Seri melihat kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar di Bukit Gantang?

ANWAR: Kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar DUN dibubarkan dan pilihan raya diadakan di seluruh negeri Perak. Ia merupakan petanda bahawa rakyat menuntut perubahan.

Bagaimana pula dengan kekalahan PR di Batang Ai? Boleh Datuk Seri jelaskan.

ANWAR: Sekali lagi kewibawaan proses pilihan raya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut undi membuka ruang kepada penipuan. Ini seharusnya menjadi pembakar semangat kepada PR untuk terus bekerja keras membawa perubahan, bukan sahaja di Batang Ai tetapi juga di segenap pelosok tanah air.

Apa mesej yang boleh Datuk Seri berikan kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai?

ANWAR: Kepada pendokong PR di Batang Ai, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak. PKR dan PR akan terus berjuang membawa perubahan kepada rakyat negeri Sarawak.

Pada pendapat Datuk Seri, apakah faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN?

ANWAR: Kegagalan UMNO untuk merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil menunjukkan bahawa rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pilihan raya kecil itu merupakan satu referendum terhadap beliau. Keseluruhan kempen mereka meminta rakyat memberi peluang kepada kepimpinan baru. Mereka berkata, UMNO telah membuat kesilapan pada masa lalu dan ia kini harus diberi peluang di bawah kepimpinan Najib. Dan mereka membawa balik (Tun) Dr Mahathir... itulah masalahnya.

Bagaimana Datuk Seri melihat kempen yang dilakukan oleh UMNO/BN?

ANWAR: Dalam kempen mereka, UMNO/BN telah mengutarakan konsep perpaduan Najib ‘Satu Malaysia’, di samping isu Ketuanan Melayu. Semua kempen tersebut tidak berhasil. Oleh itu, Najib mesti bersedia menerima hakikat bahawa gesaannya untuk perubahan dan pembaharuan, telah gagal. Beliau mesti mengambil inisiatif untuk melakukan pembaharuan.

Boleh Datuk Seri mengulas lebih lanjut mengenai status bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin?

ANWAR; Buat masa ini, beliau masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti sehingga pilihan raya umum yang berikutnya. Beliau hanya melepaskan jawatan TKM 1 dan Exco Pulau Pinang sahaja.

Bagaimana PR melaksanakan agenda parti setelah diberi kepercayaan rakyat dalam pilihan raya kecil ini?

ANWAR: Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ia tidak akan menghambat kami dari menunaikan janji yang telah diberikan. PR akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. PR tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat ini. Jangkaan mengenai serangan kepada pimpinan PR bahawa kita telah meninggalkan agenda memperjuangkan nasib orang Melayu dan derhaka tidak memberi bekas di kedua-dua tempat tersebut malah menunjukkan peningkatan undi oleh masyarakat Melayu dan dukungan mantap oleh masyarakat Cina dan India.

Apakah pesanan Datuk Seri kepada rakyat Malaysia?

ANWAR: Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda perubahan dan PR. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini.

- SINAR HARIAN Temubual dengan Anwar Ibrahim - Tuntutan rakyat mahu perubahan

2 comments.. read them below or add one

najamarine najamarine Khamis, 9 April 2009 pada 10:27:00 PG SGT
bunyi anuar ibrahim ni macam bunyi goyang je...
sepatutnya tak perlu kaitkan dr.mahathir dan isu najib dalam kenyataan ini..
dah menang trus kan la dengan agenda dan janji2 yg di taburkan...
Tanpa NamaTanpa Nama Khamis, 9 April 2009 pada 3:47:00 PTG SGT
Kami mahu kan Perubahan.. bkn sekadar retorik semata2.. hidup Pakatan!! Hidup Anwar!!! Reformasi!! Takbir3x!!!

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.