SMS ugutan ADUN Terengganu: Kerani ditahan di Seri Kembangan


Seorang kerani berusia 31 tahun ditahan di Seri Kembangan, Selangor bagi membantu siasatan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu minggu lalu.

Kerani berkenaan ditahan semalam, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Pada 13 April lalu, tiga ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis selepas menerima SMS berbaur ancaman terhadap keselamatan mereka.

SMS berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut politik terbaru di negeri ini.

ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Kuala Berang, kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

Ia diikuti ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh yang membuat laporan sama di IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 12.55 tengah malam.

Mereka membuat laporan berkenaan selepas menerima SMS tersebut kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

Abdul Halim berkata, beliau menerima SMS tersebut yang berbunyi "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?"

Beliau mendakwa SMS tersebut diterima daripada individu yang dikenalinya iaitu seorang pegawai kanan kerajaan negeri selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Wakil rakyat itu percaya ia merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada Persidangan DUN.

- MSTAR

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.