Pemilihan subjek - penentu masa depan

Lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikehendaki menjalani ujian kecenderungan personaliti bagi mengenal pasti minat serta kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata berdasarkan keputusan ujian itu, guru dapat mengenal pasti minat pelajar sebelum menasihatkan mereka memilih program sesuai.

Beliau berkata, menerusi ujian itu juga guru dapat mengenal pasti minat serta kebolehan lain antaranya bidang seni dan sukan.

Bagi lepasan PMR, katanya tiga aliran disediakan iaitu sains, sains sosial dan teknik vokasional. Masing-masing boleh memilih salah satu daripadanya sebagai syarat mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pemilihan itu, kata Alimuddin bergantung kelayakan serta minat pelajar supaya apa yang bakal dipelajari ketika di tingkatan empat dan lima memenuhi syarat pilihan kerjaya.

Ini bermakna, ketika di tingkatan empat lagi, pelajar memilih aliran sesuai bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada subjek sebelum mengambil keputusan meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) selepas lulus SPM.

“Saya melihat, pelajar kini lebih bermaklumat, mereka mempunyai banyak data yang boleh dikongsi bersama sebelum mengambil keputusan mengikuti aliran diminati.

“Malah ibu bapa juga semakin sedar mengenai pentingnya pemilihan subjek menerusi perbincangan dengan guru dalam menentukan hala tuju anak masing-masing.

“Pendedahan awal ini memberi peluang mereka membuat persiapan awal dengan menguasai sesuatu subjek dan mencapai kejayaan cemerlang bagi merealisasikan harapan memperoleh kerjaya yang dipilih,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Di peringkat sekolah pula, Alimuddin, berkata pihaknya sudah memaklumkan guru bertanggungjawab di unit kaunseling dan kerjaya untuk memberi maklumat mengenai pemilihan mata pelajaran kepada pelajar berdasarkan kelayakan dan kecenderungan.

Sebaik menerima keputusan peperiksaan, pelajar akan dimaklumkan terlebih awal mengenai pemilihan program bagi memastikan mereka membuat pilihan tepat kerana SPM adalah ujian penting dalam memastikan hala tuju pelajar selepas menamatkan alam sekolah.

Sejak kebelakangan ini juga, beliau berkata, banyak pameran pendidikan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi mahupun pihak swasta, turut dikunjungi pelajar Tingkatan Lima, selain lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Beliau berkata, diharapkan ibu bapa turut serta dengan membawa anak masing-masing mengunjungi pameran sedemikian kerana ia memberi gambaran awal hala tuju kerjaya masing-masing dan pilihan tepat dalam meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

- BERITA HARIAN Pemilihan subjek - penentu masa depan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.