MSAM 2009 tawar hadiah rumah banglo


Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 yang dijangka menarik lebih 250,000 pengunjung menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah rumah banglo berharga RM350,000.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, hadiah utama itu merupakan sebahagian daripada insentif yang bakal diberikan kepada orang ramai bagi menggalakkan mereka mengunjungi pameran berkenaan

"Hadiah tersebut akan diberikan kepada para pengunjung yang berjaya menjawab soalan-soalan yang disediakan dengan betul dan soalan-soalan yang diberikan adalah berdasarkan pameran MSAM sahaja.

"Sekiranya ramai yang berjaya menjawab soalan dengan betul, maka pihak PNB akan mengadakan cabutan untuk memilih pemenang," katanya semasa berucap pada majlis Pra-Pelancaran MSAM 2009 di Plaza Angsana di sini hari ini.

MSAM 2009 akan berlangsung di Plaza Angsana bermula esok hingga 27 April.

Selain itu, kata Hamad Kama Piah, orang ramai juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik lain seperti motosikal berkuasa tinggi sumbangan Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad (MIDF).

"Di samping itu orang ramai turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik daripada syarikat lain kerana mereka juga menyediakan banyak hadiah pada pameran tersebut," katanya.

Sementara itu, katanya, MSAM 2009 membuktikan komitmen PNB untuk terus mendidik masyarakat mengenai konsep pelaburan agar mereka lebih memahami konsep pelaburan yang betul.

Beliau berkata, kefahaman konsep pelaburan adalah penting bagi membolehkan masyarakat menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik pada masa hadapan.

"Kita mahu masyarakat faham tentang konsep kewangan seperti untung dan rugi, pengurusan kewangan dan pelbagai konsep pelaburan lain.

"Sekiranya masyarakat memahami konsep ini secara menyeluruh, mereka yang mempunyai gaji kecil juga mampu untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa," jelasnya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.