Kehidupan bermakna Dr. Fazley


Pada 18 April lalu, genap 31 tahun usia penyanyi, pelakon, pengacara dan usahawan, Dr. Fazley Yaakob.

Ketika ditemui Hits sehari sebelum tarikh ulang tahunnya, Fazley mengakui, kehidupannya hari ini sungguh menggembirakan dan bersyukur dengan kurniaan Ilahi.

"Kehidupan sekarang bertambah seronok dan saya anggap ia telah lengkap. Di usia 31 tahun, saya mempunyai kerjaya yang tetap dan keluarga yang bahagia (ibu, bapa dan adik-beradik).

"Lebih bermakna apabila saya mempunyai keluarga sendiri bersama isteri tercinta dan permata hati kami, Payish,'' ujarnya.

Seperti yang diketahui ramai, Fazley dan isterinya, Azrene Soraya dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Fariedz Shah (Payish), 5 bulan.

Menyedari tanggungjawab terhadap keluarga barunya, Fazley membuat keputusan berehat seketika daripada bidang seni semata-mata untuk membesarkan Payish dan menjaga isterinya.

Dan selepas melihat Payish membesar, Fazley mempunyai perancangan untuk kembali aktif dalam bidang seni termasuk bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan setelah hampir setahun menyepikan diri.

"Saya akan hadir dengan album baru dan mengikut perancangan akan dipasarkan dua bulan sebelum puasa.

"Hanya tinggal sebuah lagi lagu yang belum dirakam. Yang lain termasuk kulit album telah disiapkan.

"Apa yang pasti album ini sangat berbeza dengan album saya sebelum ini. Berkonsepkan pop bebas (modern dance dan santai), saya yakin ia mampu menarik minat orang ramai terutamanya peminat-peminat yang telah lama menantikan album saya,'' tambahnya lagi.

Menurut Fazley, hasil perbincangan dengan syarikat yang menguruskan kerjaya seninya, Wake The Baby (WTB), Fazley bakal memperkenalkan single terbarunya bertajuk Super Heromu.

"Saya bertindak sebagai penulis lirik lagu ini manakala Ajai pula menghasilkan melodinya.

"Kemudian, single kedua, Bila Ada akan menyusul, sebelum kehadiran album penuh nanti,'' kata Fazley.

Untuk album kali ini, 75 peratus adalah hasil kerjanya sendiri dan menyaksikan penglibatan Fazley sebagai komposer dan penulis lirik.

Optimis dengan keadaan ekonomi negara, Fazley berkata, dia mengambil masa yang agak panjang untuk mengumpul material album tersebut.

"Saya kurang terasa beban kos album. Hampir kesemua material telah saya sediakan setahun lepas, dan sekarang hanya sedikit persiapan yang diperlukan untuk album penuh saya nanti,'' katanya.

Selain itu, Fazley juga kembali aktif dalam bidang lakonan.

Kali terakhir artis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini berlakon ialah dalam drama Sembilu Kasih.

"Ketika ini saya sedang sibuk di lokasi drama Jongkang Jongkit arahan Adlin Aman Ramli dan bakal ditayangkan di Astro.

"Drama komedi ini yang turut dibintangi oleh Abby Abadi dan Ruminah Sidek merupakan drama komedi saya yang pertama.

"Selain itu, ada beberapa tawaran berlakon lagi, tetapi masih dalam proses perbincangan,'' tambahnya lagi.

Pakar motivasi ini juga turut bergelar sebagai pengacara televisyen. Terbaru, Fazley mengacara program bual bicara Suara Siswa yang berbentuk akademi disiarkan setiap Selasa pukul 9 malam mulai 28 april ini di TV 1.

"Fokus program televisyen tersebut lebih kepada remaja dan pelajar universiti,'' cerita Fazley mengenai cabang kerjayanya itu.

Duta Besta

Tahun ini merupakan tahun keempat Fazley terpilih menjadi duta Kamus Eletronik Besta.

"Sudah tentu saya berbangga dan bersyukur kerana terpilih sebagai duta termasuklah bagi produk terbaru, MD800.

"MD800 merupakan produk yang mesra pengguna dan sesuai bagi mereka yang ingin melengkapkan dunia pembelajaran secara efisien,'' katanya.

Selain mempunyai perisian 10 buah kamus termasuk Oxford Fajar Advance Learner's dan Kamus Dewan Edisi Keempat, MD800 ini juga mempunyai aplikasi MP3, MP4, pembelajaran video dan rakaman.

Lebih menarik lagi, ia turut dilengkapi dengan dialog multibahasa, merangkumi 11 bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Inggeris, Korea, Jepun dan Itali.

Orang ramai juga boleh memperolehi maklumat geografi bagi 14 buah negeri di Malaysia, maklumat tokoh-tokoh Islam serta Sejarah Malaysia bermula 1400 sehingga 2008.

Rasanya berbaloi untuk memiliki MD800 kerana ia bukan sahaja terhad kepada golongan pelajar, tetapi sesuai untuk semua golongan kerana kepelbagaian fungsi yang sedia ada.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.