Fikir positif dalam perniagaan

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

Menjaga amanah dan kepercayaan. Itu yang menjadi amalan utama dunia perniagaan barangan berharga seperti emas dan belian antara pelanggan dengan penjual. Ia juga menjadi pegangan utama bagi pengusaha barang kemas Sherin Mahrusah Abdullah, 40, semasa berurus niaga.

Menguruskan kedai barang kemas miliknya yang diusahakan sejak 2007 itu sememangnya bukan kerja yang mudah apatah lagi untuk menjadikan perniagaannya sebagai lokasi himpunan perhiasan wanita yang cantik, unik, istimewa dan peribadi dari pelbagai negara.

Menurutnya, bahan logam berharga itu amat tinggi pengertiannya bagi setiap wanita yang menjadikannya sebagai simbol sama ada sebagai penyeri semasa menghadiri sesuatu majlis istimewa atau peneman ketika sunyi.

Ibu kepada dua orang anak ini turut mempunyai cerita tersendiri sebelum mengambil keputusan terjun kepada bidang perniagaan dan meninggalkan kerjaya asalnya dalam bidang perbankan.

Bermasalah untuk membahagikan masa untuk keluarga dan anak-anak adalah perkara membingungkan dirinya kerana tidak sanggup berenggang dengan mereka.

''Sebelas tahun saya berkhidmat dalam dunia perbankan. Walaupun ia memang menyeronokkan tetapi sebagai ibu normal, saya ingin melihat anak-anak membesar depan mata saya," katanya.

Memahami kepayahan itu, suami menasihatinya berhenti kerja dan pada masa yang sama turut membantu membina perniagaan sendiri. Selain suami, adik beradiknya yang lain juga terbabit dalam bidang itu.

Pemilihan perniagaan barang kemas dibuat setelah melihat perkembangan yang memberangsangkan dari Janur Jewels, syarikat milik ibu mentua yang terletak di Labuan, Sabah yang kini berusia lebih 10 tahun.

''Apa yang dijangkakan memang benar. Walaupun AKS House Of Jewels tidak berkaitan dengan Janur Jewels tetapi keluarga memberikan sokongan serta sumbangan modal yang tidak berbelah bagi terhadap perniagaan ini,'' katanya.

Menjadi majikan dan pekerja dalam satu masa memang nampak mudah tetapi perlukan disiplin terutama dalam membahagikan masa. Walaupun tiada majikan tetapi benar kata orang bila kita melaburkan wang ringgit dalam sesuatu perniagaan, pasti kita tidak mahu rugi.

''Saya sentiasa berfikiran positif dalam usaha untuk memastikan setiap koleksi di AKS bukan saja memenuhi kehendak ramai dan dikenali," katanya.

Menyentuh mengenai koleksi, Sherin berkata, kebanyakan produk diimport dari Dubai dan Hong Kong yang mempunyai keistimewaan tersendiri seperti rekaan Dubai lebih tradisional dan klasik, banyak memainkan motif bunga-buangan serta berwarna warni. Rekaan daripada Hong Kong pula menjurus kepada rekaan moden dan ringkas.

Koleksi berunsur tradisional menarik perhatian kerana ia menyuntik elemen sentimental, sementara bentuk moden lebih kepada untuk acara santai.

''Kami juga menerima tempahan dan mengalu-alukan pelanggan datang sendiri kerana menerusi personaliti mereka saya boleh memberi konsultan tentang barang yang mereka gemarkan,'' ujarnya.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan barangan kemas untuk wanita tidak sesukar menghasilkan aksesori untuk lelaki kerana minat lelaki terhadap bahan itu masih rendah.

Seronok dengan tugasnya kini, Sherin berkata mana-mana wanita yang ingin membuka perniagaan berbentuk barangan kemas perlu bersedia berhadapan cabaran khususnya membina nama dan memastikan koleksi yang dipamerkan mendapat sambutan.

- UTUSAN Fikir positif dalam perniagaan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.