Elektrik 'berkuasa maut' teman warga TNB


Antara perkara pertama yang dilakukan manusia setiap kali bangkit daripada tidur atau memasuki kediaman mereka adalah menekan suis elektrik.

Pergantungan pada sumber tenaga itu sudah menjadi sebahagian daripada keperluan dan tanpa elektrik tidak mungkin kita dapat menikmati keselesaan hidup seperti sekarang.

Elektrik bukan sekadar menerangi ruang daripada kegelapan, bahkan pada zaman sekarang ada yang tidak mampu 'hidup' tanpa kemudahan pendingin hawa, televisyen, radio dan pelbagai lagi peralatan yang menggunakan kuasa itu.

Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa nikmat yang dikecapi itu tidak mungkin dirasai tanpa mereka yang bertungkus-lumus memastikan arus yang dijana beribu-ribu kilometer dari stesen jana kuasa tiba kepada pengguna.

Walaupun pekerjaan mereka tidak 'sepopular' artis tetapi keringat yang ditumpahkan cukup bermakna kepada rakyat negara ini.

Malah tanpa kemahiran dan kudrat mereka pentas nyanyian, panggung wayang dan set-set televisyen belum tentu berguna.

Yang pasti tugas dipikul mereka bukan sesuatu yang mudah. Ada kalanya mereka mendaki lereng bukit, menuruni lembah, merentasi sungai dan paya. Kadang-kala lebih teruk apabila terpaksa bermalam di hutan dan di puncak-puncak gunung.

Mega baru-baru ini berkesempatan mengikuti operasi penyelenggaraan oleh Unit Talian Hidup (UTH) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di salah satu menara elektrik di hutan Gombak, Bentong.

Operasi pada hari itu adalah untuk menukar palang kayu yang digunakan sebagai penebat di talian penghantaran nombor 23 yang menghubungkan wilayah timur (dari Kampung Awah, Temerloh) ke bahagian barat (Kuala Lumpur).

Selepas sesi senaman dan taklimat ringkas, anggota yang lengkap dengan pakaian keselamatan dan kelengkapan memanjat itu perlahan-lahan menadah tangan untuk mengaminkan doa yang sudah menjadi rutin mereka pada setiap pagi.

"Kami berdepan dengan risiko yang tinggi dalam pekerjaan ini. Harapan kami adalah supaya anggota yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan ini selamat," ujar Harman Shah Zain selaku ketua pasukan.

Harman kemudian menjelaskan 'risiko' yang dimaksudkan. Jelas beliau, tugas setiap anggota di bawah seliaannya adalah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di menara talian penghantaran yang mengalirkan arus aktif.

"Kaedah ini dinamakan sebagai senggaraan talian hidup dan kami adalah unit khas yang dipertanggungjawabkan melakukannya.

"Setiap hari kami berdepan dengan arus bervoltan tinggi iaitu antara 132 kilovolt (kv) hingga 500 kv," ujarnya tersenyum.

Sementara itu, Jurutera Kanan UTH Sugumar Shunmugam berkata, tugas UTH diperlukan dalam beberapa keadaan tertentu antaranya apabila talian laluan alternatif (diversion line) sukar disediakan atau proses baik pulih melibatkan laluan penghantaran yang sesak (high demand).

"Dalam dua keadaan itu, kerja di menara harus dilakukan tanpa mematikan arus di talian penghantaran terlebih dahulu bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

"Operasi ini memang berbahaya kerana mereka terdedah kepada arus elektrik terbuka. Tetapi setiap tugas dilakukan mengikut prosedur keselamatan yang ketat," ujar beliau.

Perbualan kami tiba-tiba terhenti seketika apabila kedengaran bunyi "bzz...bzz" dari menara setinggi 30 meter itu. Bunyi kuat yang menggerunkan itu terhasil apabila peralatan yang dinaikkan ke menara menggunakan tali bergeser dengan kabel elektrik.

Ketika itu, hati saya pula yang berdegup kencang melihat anggota UTH berada kira-kira satu meter dari kabel elektrik berkuasa 275 kilovolt (kv) itu. Arus sekuat itu hanya mengambil masa sekelip mata untuk menukarkan badan manusia kepada abu.

Lebih menakutkan lagi, kejutan elektrik bukan hanya boleh berlaku jika talian kabel itu disentuh malah setiap kabel juga dikelilingi 'aura' elektrik yang cukup kuat untuk membakar.

Sugumar berkata, bagi memastikan anggota badan tidak 'menceroboh' ke dalam radius elektrik, mereka yang melakukan kerja penukaran penebat di bahagian 'bahu menara' itu terpaksa meniarap dan merangkak.

"Setiap talian hidup dikelilingi arus elektrik seluas 1.74 meter itu. Bahayanya kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar,'' jelas beliau.

Tetapi cabaran karier bagi anggota UTH itu bukan sekadar berdepan dengan kejutan elektrik tetapi tugas mereka juga termasuk melakukan kerja-kerja menggunakan tulang empat kerat.

Tambah beliau, kesulitan menjadi lebih teruk sekiranya lokasi kerja berada jauh di kawasan yang terpencil dan sukar untuk dimasuki.

"Cabaran utama adalah untuk membawa masuk kelengkapan ke tapak kerja. Biasanya kami akan menggunakan pacuan empat roda, berjalan kaki dan ada kalanya memerlukan bantuan helikopter," katanya.

Selepas peralatan beratus-ratus kilogram itu disediakan, cabaran terakhir yang menanti mereka adalah cuaca.

Menurut Harman, kerja-kerja di menara talian hidup hanya boleh dilakukan di dalam keadaan kering bagi meminimumkan risiko kemalangan.

Selain peralatan yang digunakan, setiap inci tubuh anggota unit juga harus dipastikan kering sebelum memulakan operasi.

"Air adalah musuh utama kami," jelas beliau.

Harman yang berpangkat Juruteknik Tingkatan Tertinggi TNB bagaimanapun cukup yakin dengan prosedur keselamatan yang dipraktikkan sepanjang tugas itu.

Beliau berkata, hanya kakitangan terlatih dan berpengalaman dalam pengurusan dan kerja-kerja elektrik sahaja dipilih di dalam unit itu.

"Paling penting semua kerja harus dilakukan secara berkumpulan dan bersistematik.

"Jalan pintas dalam kerja bermaksud jalan pintas kepada kemalangan. Itu prinsip kerja saya,'' tegas Harman.

Bagi Sazali Mahmud yang merupakan anggota terawal unit itu sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, cabaran kerja bukan sahaja 'bergelumang' dengan arus elektrik tetapi ada masanya dia berdepan dengan ancaman binatang buas.

"Ketika bertugas di kawasan Gerik, Perak, pernah beberapa kali juga saya terserempak dengan kumpulan gajah,'' katanya.

Itulah rintangan yang dihadapi sebahagian warga TNB untuk menyediakan bekalan berterusan. Mereka tidak minta dikenang tetapi cukup gembira sekiranya rakyat negara ini lebih menghargai bekalan dan tidak membazirkan sumber tenaga terpenting itu.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.