Winnie Kok suka dibelai


Meniti kehidupan penuh glamor dan sentiasa sibuk, sekali sekala tentunya diri mahu dibelai dan dimanjakan sang kekasih. Dalam usia mencecah 28 tahun pada 16 Mac ini, penyanyi Winnie Kok yang kini mahu dikenali sebagai Winnie K, masih mencari cinta sejati.

Sejak putus kasih dengan jagoan badminton Indonesia, Taufik Hidayat, dua tahun lalu, Winnie masih mencari cinta. Difahamkan, Winnie sempat menjalin cinta dengan Taufik beberapa bukan tetapi perhubungan bermula pada September 2005 itu tidak ke mana.

Sebaliknya Taufik melangsungkan perkahwinan dengan Ami Gumelar pada 4 Februari 2006 dan kini mempunyai anak perempuan yang lahir pada Ogos 2007.

Tidak cukup dengan itu, anak kelahiran Kuala Lumpur dan dibesarkan di Kuala Lipis, Pahang itu dikatakan pernah menjalin hubungan istimewa dengan pemain gitar kumpulan popular Indonesia, Ungu iaitu Oncy, sehingga menjadi berita hangat serta mendapat liputan meluas media tempatan dan Indonesia.

Hubungan yang diistilahkan Winnie sebagai teman rapat itu juga tidak ke mana. Senyap seketika, timbul pula gosip baru kononnya Winnie kini menjalin hubungan cinta dengan pemain regu lelaki (badminton) negara, Koo Kien Keat yang sering berganding dengan Tan Boon Heong.

"Dia bukan teman istimewa tetapi kawan baik saya. Saya mengenalinya sudah lama malah, di kalangan pemain badminton sendiri tahu kami berkawan baik.

"Koo juga kenal bekas teman lelaki saya. Sebenarnya, sejak di bangku sekolah lagi saya memang meminati badminton dan sanggup membeli tiket untuk menyaksikan pertandingan itu.

"Mungkin kehadiran saya dalam satu pertandingan badminton baru-baru ini menimbulkan persoalan lebih-lebih lagi melihat kami rapat.

"Pada usia sebegini saya memang mengharapkan kehadiran teman istimewa kerana saya suka dibelai dan dimanjakan. Kalau sakit ada orang tanya khabar.

"Tapi mungkin belum ada jodoh selain masih banyak perkara yang perlu saya korbankan demi karier seni. Jika satu hari nanti menemui lelaki idaman, saya mungkin akan mengehadkan pembabitan seni kerana mahu berkahwin dan mempunyai anak," katanya.

Hampir setahun menembusi pasaran Indonesia, album sulung berbahasa Melayu Winnie akhirnya dapat diperdengarkan kepada peminat serta penggemar muzik tanah air.

Pada majlis pelancaran album Kau Ada Di Mana baru-baru ini, jelas sekali tiada kata mampu diungkapkan si pemilik nama asal, Kok Mui Kuan, 27, ini.

Kegembiraannya itu, sekali gus menutup emosi yang sedang berperang dengan ketidakstabilan diri yang kurang sihat kebelakangan ini kesan perubahan cuaca yang tidak menentu, sekejap hujan dan sekejap panas.

"Hari ini adalah hari yang cukup bermakna buat saya. Selepas sekian lama menunggu akhirnya dapat juga album ini dilancarkan di sini. Pasti ramai yang tertanya-tanya, mengapa ia dipasarkan di Indonesia kemudian baru disusuli Malaysia.

"Ada cerita di sebaliknya. Sejak dulu lagi saya memang mengimpikan sebuah album Melayu kerana saya bukan saja mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan malah sejak kecil lagi meminati lagu dan artis Melayu.

"Justeru, dengan bajet sendiri saya menampung pembikinan album yang dimulakan sejak tiga tahun lalu. Ramai komposer tempatan yang terbabit antaranya Ajai, Cat Farish, Tam Spider dan Audi Mok.

"Sememangnya, saya juga sudah merancang untuk memuatkan satu atau dua lagu berkonsepkan 'pop dance' hasil ciptaan komposer Indonesia. Atas bantuan seorang kenalan di sana saya diperkenalkan kepada orang kuat syarikat rakaman Trinity Optima," katanya.

Melalui usaha syarikat rakaman juga, Winnie mengenali komposer terkenal Dwikorama Yudis dan Dewiq. Kebetulan lagu Kau Ada Di Mana ciptaan Dewiq sebuah lagu sangat menangkap dan sesuai dijadikan single pertama.

Winnie berkata, tujuan ke sana pada mulanya untuk bekerjasama dengan produser dan komposer Indonesia. Namun, sebaliknya berlaku apabila syarikat itu menawarkan kontrak rakaman kepada Winnie.

Melihat ia sebagai peluang keemasan, Winnie tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan menyertai syarikat yang menaungi ramai artis popular Indonesia, antaranya Rossa dan kumpulan Ungu.

Apatah lagi, Trinity Optima bersetuju enam daripada tujuh lagu ciptaan komposer Malaysia dikekalkan dalam album ini. Bagaimanapun lagu Di Taman Magis ciptaan Tam Spider dan lirik nukilan Allahyarham Loloq tidak dimuatkan kerana mereka tidak memahami lirik lagu itu.

"Saya tidak pernah terfikir semua ini akan berlaku dalam hidup saya. Ia bagaikan mimpi jadi kenyataan. Sebelum ini saya mendengar banyak rungutan daripada penyanyi dan pemuzik Malaysia yang terkilan kerana sukar untuk memasarkan album terbitan mereka di Indonesia.

"Saya akui industri muzik Indonesia sangat besar dan kompetitif namun bertuah kerana kalau orang lain susah dapat peluang, jalan saya pula sangat mudah. Saya berasa sangat bertuah," katanya.

Lagu yang dimuatkan menerusi album Melayu pertama Winnie itu ialah Kekasih Gelapmu, Tak Bisa Memilih, Ke Akhirnya, Sampai Bila, Hatiku Tak Tahan Lagi, Untuk Kita Bersatu, Excuse Me, Kehadiranmu dan Cahayakan Cinta.

Pada sidang media itu, Winnie turut menjelaskan keputusannya menukar nama Winnie Kok kepada Winnie K. Katanya, Kok adalah nama keluarga dan alam album Mandarin dulu, dia menggunakan nama Winnie Kok tapi bersempena album Melayu ditukar kepada Winnie K.

"Melihatkan 'trend' sekarang ramai yang guna nama singkatan Datuk K, Datuk S, jadi saya guna Winnie K supaya lebih mudah disebut. Saya mahu kekal dengan nama ini," katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Kok Mui Kuan

TARIKH LAHIR: 16 Mac 1981

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Diploma Lanjutan Pengurusan Perniagaan

PROFESION: Penyanyi & model

IKLAN KOMERSIL: Duta Pepsi (2001),

Cokelat Cadbury (2002) dan produk kesihatan di China (2003),

Cool Fever, Follow Me, Yoko Yoko dan GardeniaALBUM: Lian Ai Kuai Le

(Mandarin-1999), Change (Mandarin-2001), Chang (Mandarin bersama satu

lagu Melayu berjudul Kau Dan Aku - 2003) dan Kau Ada Di Mana (2007)

FILEM: Potret Mistik

PENCAPAIAN: Juara Asia Bagus di Singapura

(1993), Top Ten Artis Cina Malaysia (selama lima tahun berturut-turut

sejak 2001) dan Anugerah Best Artis dan Malaysia Most Highly Supported

Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)

- HARIAN METRO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.