Usahawan mesti bijak urus masa

Memanfaatkan usia muda untuk menjadi usahawan berjaya adalah satu usaha murni.

Bagi Pengurus Operasi & Pemasaran Innovate Smart, Ummul Khairiyah Abdul Rahman, usianya yang masih muda menjadi perantaraan penting dirinya untuk dicontohi masyarakat.

Baru mencecah usia 21 tahun tetapi sudah memiliki syarikat sendiri biarpun pada masa sama masih menuntut di universiti, memberi kelebihan kepadanya untuk mencipta kejayaan tersendiri suatu hari kelak.

“Syarikat saya menyediakan pelbagai kemudahan buat mereka yang merencanakan sebuah syarikat, perkomputeran, pemasaran, pengiklanan, elemen dekorasi dan khidmat runding cara, seni bina struktur pembinaan yang lengkap sehinggalah kepada khidmat pengurusan acara.

“Cara itu didapati mampu mengurangkan kos kerana perniagaan yang dibina di bawah satu entiti sememangnya praktikal dan dinamik,” katanya.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, pengurusan masa yang hebat mampu melonjakkan seseorang itu menjadi sehebat impian yang dibina.

“Kalau hendak dikatakan kita tidak cukup masa, pandangan itu silap kerana setiap orang diberikan akal untuk menggarap fikiran sebaik mungkin.

“Cara seseorang itu memperhebatkan diri mereka dengan kuasa minda di samping gerak kerja yang penuh perancangan, boleh menjadikan seseorang itu dihormati kerana kebijaksanaannya mengendalikan dua tugas serentak.

“Saya bertuah kerana berjaya mencabar diri sendiri untuk berjaya dalam kedua-duanya dan percaya, usaha tidak kenal jemu memberi kelebihan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan orang yang hebat bukan kerana kehebatannya semata-mata tetapi pengurusan masa yang terancang serta disiplin ilmu yang tinggi berjaya meletakkan mereka di takah yang sewajarnya.

Katanya, dalam hidup ini seseorang itu perlu ada perancangan tersendiri untuk menggapai apa yang diingini.

“Berdasarkan pengalaman dalam keluarga, saya adalah satu-satunya anak perempuan tunggal. Selalunya kata orang, perwatakan anak perempuan akan lebih dipengaruhi sifat lelaki. Bahkan, adik-beradik lelaki selalunya sukar mendengar arahan perempuan.

“Namun saya tidak demikian, jiwa dan kekentalan saya kuat dan kami adik-beradik sering berbincang mengenai sesuatu perkara.

“Walaupun mempunyai cita-cita berbeza, kami mempunyai satu misi iaitu berkecenderungan memiliki perniagaan masing-masing suatu hari nanti.

“Ada antara adik saya minat dalam bidang sukan dan berhasrat membuak perniagaan berasaskan alatan sukan suatu hari nanti. Seorang lagi dalam bidang perhotelan dan menjangkau impian memiliki perniagaan sendiri kelak dengan perancangan yang sudah tersusun rapi,” katanya bercerita mengenai keluarga.

Menurutnya, ada yang menaruh impian menjadi usahawan tetapi tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan jenis perniagaan yang hendak dicaturkan.

“Di sinilah ia menguji diri saya untuk membentuk keyakinan dalam perniagaan dan sekali gus menjadikan persekitaran yang penuh kondusif.

“Bagaimana membentuk dorongan untuk terus maju, memerlukan banyak komitmen, pemahaman di samping usaha yang tidak pernah jemu untuk meningkatkan jualan, pemasaran dari semasa ke semasa tanpa membiarkan ia lesu dan berkubur,” katanya.

PROFIL

Nama: Ummul Khairiyah Abdul Rahman

Jawatan: Pengurus Operasi dan Pemasaran Innovate Smart, 11B, Jalan 3/69, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pendidikan: Menyiapkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Status: Bujang

Keluarga: Anak sulung (perempuan tunggal) daripada lima beradik

- HARIAN METRO Usahawan mesti bijak urus masa

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.