TDM catat perolehan RM385j

TDM Bhd., anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatatkan perolehan berjumlah RM385 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2008.

Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik berkata, perolehan itu mewakili peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding RM267 juta yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Roslan berkata, kumpulan yang terlibat alam sektor perladangan, penjagaan makanan dan penjagaan kesihatan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM144 juta untuk tempoh yang sama.

''Keputusan baik ini dicapai menerusi pulangan dan hasil lebih tinggi daripada perladangan kerana kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) selain peningkatan prestasi bahagian penjagaan kesihatan.

''Pada masa yang sama, pendapatan sesaham juga meningkat kepada 45.85 sen daripada 17.71 sen pada tahun sebelumnya," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Roslan berkata, kumpulan tersebut telah memanfaatkan peningkatan produktiviti dengan pengeluaran Tandan Buah Segar (TSB) mencecah 595,002 tan metrik pada tahun lepas berbanding 515,893 tan metrik pada tahun sebelum itu.

''Harga purata MSM yang lebih tinggi pada paras RM2,884 setan metrik pada 2008 berbanding RM2,152 setan metrik pada tahun sebelumnya menyumbang kepada prestasi baik ini," ujarnya.

Beliau menambah, TDM kini menguruskan 12 ladang kelapa sawit seluas 35,000 hektar di Terengganu dan 40,000 hektar lagi di Kalimantan, Indonesia.

''Ladang di Kalimantan ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan ini pada 2011," katanya.

Beliau berkata, perolehan bahagian penjagaan kesihatan meningkat sebanyak 38 peratus kepada RM58.5 juta tahun lepas berbanding RM42.4 juta pada tahun sebelumnya.

''Bagi bahagian pengeluaran makanan yang memberi tumpuan kepada penternakan ayam dan itik bersepadu, mencatatkan hasil RM25.4 juta tahun ini berbanding RM18.9 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Roslan menambah, TDM akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi pada tahun ini memandangkan senario ekonomi global tidak menentu.

- UTUSAN TDM catat perolehan RM385j

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.