Taiwan - Simbol pertalian langit & bumi


Tarikan Taiwan: Musim luruh di negara dikenali sebagai Ilha Farmosa sajikan suhu perbandingan sejuk-kering yang paling nyaman dan selesa

TAIWAN yang pernah menjadi kubu persembunyian Chiang Kai-shek dan pengikut nasionalisnya setelah melarikan diri daripada cengkaman rejim komunis Mao Zedong pada 1949, dikagumi kerana menghimpunkan budaya pelbagai suku bangsa, meriah dengan aktiviti kesenian, makanan enak selain menjanjikan panorama indah kawasan pergunungan, laut dan kolam air panas.

Peluang meneroka semua keseronokan itu dinikmati penulis apabila diundang mengikuti rombongan media selama enam hari anjuran syarikat penerbangan tersohor Cathay Pacific dengan kerjasama Biro Pelancongan Taiwan; pakej pelancongan keluarga Muslim, baru-baru ini.

Taipei, ibu negara dengan populasi 2.7 juta penduduk juga gah dengan bangunan tertinggi di dunia dikenali sebagai Taipei 101 yang menjadi destinasi persinggahan wajib. Bangunan pencakar langit setinggi 508 meter dari paras laut itu umpama titik pertemuan tamadun seni bina moden bergabung alam kerana rangkanya mengambil inspirasi buluh yang tahan dilentur angin. Secara keseluruhannya, seni bina Taipei 101 mirip bunga sedang berkembang selain dianggap simbol pertalian langit dengan bumi oleh penduduk tempatan.

Kesibukan bandar Taipei lebih ketara menjelang malam, dihidupkan dengan kegiatan membeli-belah di beberapa toko terkemuka dan pasar lambak terutama Shilin, Ximending dan Wufenpu.

“Selain menawarkan harga runtuh, setiap pasar menghidangkan daya tarikan berbeza. Ximending unik kerana menjadi pertembungan sejarah lampau dengan budaya popular. Selaku pasar lambak tertua, ia menghimpunkan setempat rumah teater, pusat karaoke, toko buku dan lot kedai yang menjual hampir semua barang kegilaan muda-mudi baik busana terkini, hiburan, alat elektronik mahupun makanan segera menyelerakan,” kata pemandu pelancong, Felix Chen.

Wufenpu yang terletak bertentangan Stesen MRT Songshan lebih menjanjikan syurga pencinta fesyen kerana menawarkan lambakan pakaian import dari Jepun, Korea Selatan, Thailand dan beberapa negara lagi. Tambah menarik, segala pakaian, beg, kasut, aksesori boleh dibeli baik secara berasingan mahupun pukal dalam lingkungan harga RM10 (Taiwan Dollar (TD)$100) hingga RM200 (TD$2000).

Muzium Nasional Diraja membuka peluang pengunjung menghayati dan mendalami sejarah kira-kira 700,00 artifak di dalamnya. Diberi gelaran Diraja kerana muzium ini diasaskan di Bandar Larangan, Peking pada 1925. Sejarah merekodkan, himpunan tinggalan lama mula dipindahkan dari pedalaman China pada 1931 bagi mengelakkan kerosakan bakal dicetuskan perang Sino-Jepun.

Muzium ini memuatkan koleksi lukisan dan kaligrafi, buku dan dokumen sejarah serta himpunan antik yang dipamerkan di ruang siap dibina bertutup kaca. Kebanyakan artifak diberi tempat kekal melainkan dokumen dan buku sejarah yang berubah ruang pameran setiap tiga bulan.

Menjejak Taman Tema Leofoo Village membuatkan penulis terkenangkan kehidupan safari di Zoo Taiping. Bezanya, haiwan liar di sini dibiar bebas berkeliaran manakala pengunjung dibawa menjelajah seluruh pelusuk African Safari dengan bas.

Setiap spesies haiwan ditempatkan dalam komuniti sendiri dengan pintu jeriji besi sebagai pemisah. Selain bersantai dan mengenali haiwan, pengunjung berpeluang menyelami dunia koboi di Wild West, menghayati hikayat 1001 malam Aladdin di Arabian Kingdom dan mencuba pelbagai permainan di samping menyaksikan pertunjukan air di South Pacific.

Hasil ketelitian serta kehalusan replika kenit bangunan termasyhur dunia, Window On China (WOC) dianugerahkan antara 10 destinasi tumpuan pelancong ke Taiwan. Kira-kira 133 miniatur bangunan terhidang di hadapan mata termasuk Dewan Memorial Sun Yat-Sen, Taiwan; Taj Mahal, India; Menara Pisa, Itali; St Basil, Rusia, patung Statue of Liberty, Amerika Syarikat dan pelbagai lagi.

FAKTA: Taiwan

* Terletak di tenggara benua Asia, sebuah rangkaian pulau Asia Timur; Jepun di utara dan Filipina di selatan.

* Pulau muda, terbentuk empat juta tahun lalu oleh pelanggaran plat tektonik sekali gus mewujudkan tanah tinggi dan pergunungan, jurang dalam dan jeram deras.

* Kawasan gunung menduduki 65 peratus daripada keseluruhan tanah dengan luas kawasan kira-kira 36,000 meter persegi. Lebih 200 puncak gunungnya berketinggian 3000 meter.

* Gunung Yushan atau Jade setinggi 3.952 meter diisytihar mempunyai puncak tertinggi di timur laut Asia.

* Iklim sub-tropika mewujudkan suhu sederhana sepanjang tahun. Bagaimanapun, musim luruh yang menawarkan suhu perbandingan sejuk-kering dianggap paling nyaman dan selesa.

* Popular dengan jolokan Ilha Farmosa bermaksud pulau yang indah.

* Maklumat lengkap pakej pelancongan Taiwan boleh diperoleh menerusi laman web http://taiwan.net.tw dan www.cathaypacific.com.

- BERITA HARIAN
www.bharian.com.my

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.