Nik Aziz tolak cadangan kerajaan perpaduan Hadi

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Meskipun beberapa pihak dalam Pas menyambut baik cadangan itu bagi menyelesaikan kemelut politik yang turut memburukkan ekonomi, beliau bagaimanapun secara peribadi menegaskan tidak bersetuju berbuat demikian.

Alasan Nik Abdul Aziz ialah tidak mahu mengulangi sejarah pembentukan kerajaan campuran antara parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) dengan Pas yang tidak dapat bertahan lama.

"Pas sudah dari dulu nak bergabung dengan BN.. masa itu nak perpaduanlah, tetapi UMNO tak pernah hargai susah payah Pas, usaha Pas dulu gagal, bukan gagal kerana kami tetapi kerana UMNO tendang kami keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Abdul Hadi baru-baru ini yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu pendekatan 'politik damai'.

Langkah itu dilihat dapat mengelak kemelut politik berpanjangan yang merugikan negara dan menjejaskan keamanan.

Berbeza dengan kerajaan campuran yang pernah disertai Pas pada era 1970-an, cadangan itu difahamkan menjurus kepada pembentukan kerajaan tanpa pembangkang dengan penglibatan semua parti politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula dilaporkan menuntut Abdul Hadi supaya memberi penjelasan kepada majlis kepimpinan tertinggi DAP-Pas-PKR tentang apa yang dimaksudkan dengan cadangan itu.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau masih terasa perit apa yang pernah dialami oleh Pas dan tidak mahu ia berulang.

"Itu pendapat peribadi saya, tetapi selagi saya tak puas hati, saya tidak boleh terima kerajaan perpaduan.

"Saya tak boleh terima, sekarang ini saya nak kata, masih pahit lagi lidah saya ingat peristiwa itu. Saya perit," katanya.

Bagaimanapun katanya, persoalan itu tentunya akan dibawa ke Muktamar Pas Jun ini untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

- UTUSAN
www.utusan.com.my Nik Aziz tolak cadangan kerajaan perpaduan Hadi

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.