Neo CPS lebih agresif


Sebelas tahun lalu, pelancaran Proton Satria GTi oleh Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) menjadikan kereta berkenaan antara model jentera dua pintunya yang terlaris selain Putra.

Kini, kehadiran Satria Neo CPS bakal mengulangi kehebatan model eksklusif jentera dua pintu berkenaan tetapi dengan wajah lebih baru, berkuasa, sporty dan bergaya.


Model generasi kedua daripada Neo itu bukan saja akan mengulangi kejayaan model Satria GTi suatu masa dulu, malah boleh dianggap 'kelahiran semula' bagi versi GTi.

Didatangkan dengan enjin 1.6L Campro CPS (Cam Profile Switching) bersama teknologi VIM (Variable Intake Manifold), Neo terbaru ini bukan saja menawarkan pemanduan yang menyeronokkan, malah sentuhan kawalan pemanduan Lotus melengkapkan identiti Neo sebagai sebuah jentera sporty.

Dilengkapi bodykit menyamai Satria GTi, Neo CPS turut dipadankan dengan rim aloi serba baru, spoiler bumbung lebar dan bampar depan belakang lebih agresif.

Ruang dalaman tidak banyak berbeza seperti Neo asal tetapi padanan kokpit lebih gelap selain kemasan kulit hitam-merah pada kerusi dan panel menyamai model empat pintu, Gen.2 CPS.

Walaupun enjin CPS yang digunakan pada Neo adalah sama seperti Gen.2 dan Waja, Proton membuat talaan baru disesuaikan dengan saiz badan Satria yang lebih kompak.

Talaan baru itu turut menjadikan pusingan shaf per minit atau RPM lebih tinggi boleh dilakukan bagi penghasilan tenaga enjin yang maksimum.

Sistem Modul Kemasukan Pelbagai atau VIM akan menukar haluan kemasukan angin dari corong panjang ke corong pendek ketika putaran enjin melebihi RPM yang ditetapkan.

Untuk Waja dan Gen2, pertukaran aci sesondol (Cam Profile Switch) dilakukan pada kelajuan enjin 3,800rpm manakala bagi Neo CPS, pertukaran dilakukan pada putaran RPM lebih tinggi iaitu 4,400rpm.

Ini menjadikan Neo CPS lebih agresif dan berkuasa sebaik pedal minyak ditekan.

Selain itu, sistem ekzos bagi semua enjin CPS diganti baru kerana enjin berkenaan memerlukan paip lebih besar daripada model Campro biasa.

Ini adalah perbezaan ketara antara enjin Campro biasa dan CPS serta tidak hairan teknologi terbabit mampu menjana 125 kuasa kuda (hp).

Kuasa kuda yang tinggi diimbangi kawalan mantap Lotus selain sistem brek ABS dan EBD serta beg udara berkembar untuk mengurangkan impak kecederaan pada pemandu dan penumpang hadapan.

Berharga RM57,800 bagi transmisi manual dan RM60,800 untuk automatik, Neo CPS hanya didatangkan dengan dua warna iaitu hitam dan putih solid.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.