Lulusan universiti bertambah

Sebanyak 38 peratus rakyat Malaysia yang berumur 17 hingga 23 tahun berjaya memperoleh pendidikan tinggi berbanding hanya lima peratus kira-kira 20 tahun lalu.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Radin Umar Radin Sohadi (gambar) berkata, kerajaan mensasarkan peratusan tersebut akan terus meningkat kepada 50 peratus menjelang 2020.

"Ia menjadi tanda aras kepada kita untuk terus memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai pendidikan di peringkat tinggi sama ada di institusi awam mahupun swasta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pameran Pendidikan Facon 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Dalam pada itu, Radin berkata, peluang bagi mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lepasan ijazah pula semakin luas sama ada di institusi awam ataupun swasta.

Katanya, pada masa kini sahaja kira-kira 60,000 kemasukan bagi pelajar program lepasan ijazah direkodkan.

Beliau berkata, masyarakat di negara ini semakin sedar bahawa pendidikan tinggi amat penting walaupun peluang pekerjaan yang ada agak terhad.

Menurutnya, lebih ramai rakyat Malaysia mahu mendapatkan pendidikan tinggi walaupun dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang menyebabkan ramai siswazah sukar mendapat pekerjaan.

"Ia sudah menjadi satu keperluan tidak kira sama ada mereka akan mendapatkan pekerjaan atau tidak selepas tamat pengajian," katanya.

Sistem online kemasukan ke universiti dikaji

Kementerian Pengajian Tinggi akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai sistem kemasukan ke universiti secara dalam talian atau online agar tidak mudah diceroboh pihak tertentu.

Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron berkata, ia perlu dilihat secara terperinci dan pihaknya perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu dari setiap sudut sebelum membuat sebarang tindakan susulan mengenainya.

"Kita tidak tengok apa saja kes atau aduan berhubung pencerobohan online yang berlaku ketika ini sebagai kes terpencil.

"Kita akan tengok secara menyeluruh dan mengkaji bagaimana maklumat butiran pelajar yang memohon menggunakan sistem online ini boleh diceroboh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2009 Zon 5 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar semalam mengenai dakwaan tiga pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang terkejut mendapati maklumat permohonan mereka menerusi sistem online telah bertukar berbanding permohonan asal.

Menurut Idris, pihaknya perlu meneliti kronologi permohonan pelajar berkenaan secara terperinci bagi mengenal pasti punca permasalahan tersebut.

Menurutnya, kajian semula itu tidak hanya memfokuskan kepada kes tiga pelajar lepasan STPM terlibat tetapi ia dilihat pelbagai aspek secara menyeluruh.

- UTUSAN
www.utusan.com.my Lulusan universiti bertambah

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.