Komentar - Keputusan Lembaga Disiplin wajar demi kebaikan parti

EPISOD 2005 berulang kelmarin apabila Lembaga Disiplin Umno menyentap hasrat Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk mendaki hirarki lebih tinggi dalam parti apabila dilarang daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Cuma kali ini skripnya berbeza kerana Ketua Menteri Melaka itu mengetahui hukumannya sebelum pemilihan bermula, hanya berbaki kira-kira 10 hari, tetapi lebih bernasib baik berbanding apa yang menimpa Tan Sri Isa Samad, empat tahun lalu.

Isa yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan bukan saja kehilangan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya selepas menerima undi terbanyak, tetapi bentuknya juga lebih drastik daripada apa dikenakan ke atas Mohd Ali.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu digantung keahlian Umno selama enam tahun sebelum dikurangkan kepada tiga tahun selepas membuat rayuan, selain terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan Kabinet.

Kesalahan dilakukan kedua-dua pemimpin itu secara zahirnya adalah sama rasuah politik, tetapi Mohd Ali tidak digantung keahliannya, sekali gus mengekalkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Desas-desus mengenai ada pemimpin kanan parti yang dicalonkan bertanding pada pemilihan minggu depan akan dikenakan tindakan kerana terbabit dalam rasuah politik sebenarnya sudah bertiup kencang beberapa hari sebelum itu.

Bagi pemerhati politik, apa yang menimpa Mohd Ali bukan lagi sesuatu yang mengejutkan walaupun ada yang pada awalnya menjangka Lembaga Disiplin akan mengumumkan tindakan ke atas lebih ramai calon, termasuk pemimpin kanan.

Bagaimanapun, hanya Mohd Ali yang dilarang bertanding kerana melanggar Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, manakala nama besar lain seperti dua calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, terlepas.

Enam lagi ahli, tiga daripada mereka dalam barisan kepemimpinan Umno Bahagian Bukit Katil yang diterajui Mohd Ali digantung keahlian selama tiga tahun, manakala empat lagi digantung setahun.

Ada melihat keputusan berkenaan sebagai iltizam Umno untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti tunjang kerajaan itu, tetapi ramai juga masih skeptikal dan berpendapat Ketua Menteri Melaka hanya sekadar 'kambing hitam'.

Atas faktor itu juga sekumpulan penyokong Mohd Ali berhimpun di depan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang kelmarin, membantah tindakan ke atas Naib Presiden Umno itu.

Bagi Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, kesan daripada keputusan Lembaga Disiplin Umno boleh dilihat dari dua aspek.

"Dari satu segi, ia menunjukkan Umno sudah mula bertindak terhadap anasir buruk dalam parti itu iaitu politik wang yang selalu dikatakan sebagai masalah paling besar dalam Umno. Ia menampakkan satu usaha ke arah pembaikan dalam Umno.

"Dari segi lain, pemerhati politik tidak begitu terperanjat kerana sudah ada desas- desus menyatakan ada pemimpin kanan Umno akan dikenakan tindakan. Jadi, apa yang menimpa Mohd Ali boleh dikatakan sudah dalam jangkaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, timbul kekeliruan berhubung tafsiran jenis kesalahan dilakukan kerana ada pemimpin lain didapati bersalah di bawah perkara sama hanya diberi amaran.

"Dalam hal ini, Umno perlu lebih telus dan mendedahkan secara terperinci kes mereka yang disiasat Lembaga Disiplin supaya tidak menimbulkan keraguan," katanya.

Beliau juga berpendapat Umno perlu memberi lebih tumpuan ke atas peranan ejen, pelobi atau perayu undi kerana kelompok itu yang biasanya memainkan peranan penting menyegarkan gejala rasuah politik.

Secara umum, Tunku Mohar melihat keputusan Lembaga Disiplin Umno memberi harapan bahawa parti itu yang boleh disifatkan dalam keadaan 'sakit' sekarang, serius untuk membanteras gejala tidak sihat berkenaan.

Katanya, apa yang dibuat untuk kebaikan parti adalah usaha yang wajar disokong walaupun akan ada pihak tidak berpuas hati, manakala mereka yang skeptikal akan terus bersikap demikian.

- BERITA HARIAN
www.bharian.com.my Komentar - Keputusan Lembaga Disiplin wajar demi kebaikan parti

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.