Kedudukan sosioekonomi wanita Malaysia merosot

Satu kaji selidik mendapati kedudukan sosioekonomi kaum wanita di Malaysia menyusut kepada 69.9 mata pada tahun ini berbanding 76 mata, tahun lalu, menjadikan kedudukan Malaysia di tangga kelapan di Asia Pasifik.

Kaji selidik Indeks Kemajuan Wanita yang dijalankan oleh MasterCard Worldwide meliputi 21 pasaran dengan 400 responden di setiap pasaran.

Naib Presiden Komunikasi MasterCard Worldwide bagi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Georgette Tan berkata, penurunan itu disebabkan bilangan wanita menganggap diri mereka memegang jawatan pengurusan dan memperoleh pendapatan melebihi tahap sederhana masih berkurangan.

"Ini berlaku walaupun nisbah wanita yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi adalah ketiga terbesar di Asia Pasifik," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Berdasarkan kaji selidik itu, bilangan wanita bagi setiap 100 responden yang menjawat jawatan pengurusan berpendapat sosioekonomi telah jatuh kepada 50 mata, tahun ini berbanding 60 mata, tahun lalu.

Sementara itu, bilangan wanita yang memperoleh pendapatan melebihi tahap sederhana juga menurun daripada 48 mata, tahun lalu kepada 38 mata tahun ini.

Menurut Tan, walaupun wanita mempunyai prospek yang cerah dalam pendidikan tetapi ia masih belum ditafsirkan kepada persepsi sendiri dari segi sosioekonomi atau sumbangan terhadap ekonomi.

"Salah satu sebab mungkin ialah kebanyakan wanita sekarang lebih gemar berniaga sendiri atau mendirikan rumah tangga.

"Ini bukan mereka tidak sedar tetapi mungkin juga disebabkan oleh aspek kebudayaan yang memainkan peranan penting di Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat ruang untuk berkembang memandangkan bilangan wanita berpendidikan tinggi masih banyak.

"Wanita sebaliknya seharusnya lebih proaktif dalam membuat keputusan dalam hal rumah tangga," ujarnya.

Kaji selidik itu juga menunjukkan lebih ramai lelaki di Malaysia, iaitu sebanyak 39 peratus, beranggapan diri mereka pembuat keputusan untuk hal rumah tangga berbanding wanita (18 peratus).

Daripada jumlah itu, sebanyak 69.4 peratus yang bekerja manakala 26.9 peratus menggangap diri mereka memegang jawatan pengurusan.

Tan menjelaskan, segmen wanita penting bagi banyak perniagaan dan indeks itu akan membantu syarikat untuk lebih memahami kumpulan sasaran berkenaan.

''Indeks yang mengukur tahap sosio ekonomi wanita berbanding lelaki menggunakan empat penunjuk utama dari dimensi objektif dan subjektif," terangnya.

Dua daripada empat penunjuk itu berdasarkan data sumber biro statistik kebangsaan yang melihat penglibatan wanita dalam tenaga kerja dan memiliki pendidikan tinggi.

Sementara itu Tan berkata, aspek subjektif melihat sama ada wanita memegang jawatan tahap pengurus dan mendapat gaji melebihi pendapatan sederhana.

- UTUSAN Kedudukan sosioekonomi wanita Malaysia merosot

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.