Gobind Singh digantung 12 bulan Dewan Rakyat


Dewan Rakyat semalam meluluskan usul untuk menggantung Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) daripada menghadiri sidang Dewan selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.

Selain digantung, Gobind tidak akan menerima sebarang bayaran elaun dan kemudahan sebagai Ahli Parlimen sepanjang tempoh tersebut.

Tindakan tersebut diambil ekoran dua kenyataan Gobind yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan selain menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

Kenyataan berkenaan dibuat Gobind pada 12 Mac lalu semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009).

Sewaktu membentangkan usul tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kenyataan Gobind itu sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli Parlimen serta merupakan penghinaan kepada Dewan.

Setelah perbahasan selama kira-kira 40 minit, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan untuk menggantung Gobind melalui undian mulut yang menyaksikan Dewan meluluskan secara sebulat suara.

Ini berikutan kesemua ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan ketika pengundian berlangsung sebagai tanda bantahan di atas keputusan Pandikar Amin untuk menerima usul tersebut walaupun ia dibantah mereka sebelum itu.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) berhujah mengapa usul tersebut patut ditolak termasuk mendesak Gobind diberi peluang mempertahankan dirinya.

Setelah hampir 50 minit pembangkang diberi ruang membangkitkan bantahan, Pandikar Amin kemudian menegaskan yang beliau tetap meluluskan usul itu untuk dibahaskan kerana ia melibatkan kepentingan umum yang membawa persepsi kepada masyarakat berhubung gelagat ahli Parlimen.

''Saya dah baca peraturan mesyuarat 27 (3), 80 (1) dan 44 (8) yang mana membolehkan usul patut dibahaskan dalam Dewan ini.

''Ini adalah tafsiran saya dan saya nak ingatkan keputusan Speaker di bawah peraturan 43 harus diterima. Ini perkara yang ada kaitan dengan tabiat, gelagat dan keceluparan ahli Dewan berlindung dalam Dewan dan bukannya berlaku di luar sana. Semua tahu perkara ini berlaku," katanya.

Katanya lagi, beliau faham mengenai kebebasan bersuara dan keistimewaan ahli Parlimen, tetapi mestilah dalam tanggungjawab sendiri dan ia sendiri bukan bersifat mutlak.

''Ini berpunca daripada ahli Parlimen sendiri dan bukan daripada saya. Saya lakukan ini supaya tidak berlaku lagi perlanggaran peraturan mesyuarat.

''Majlis yang bersidang adalah lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Hak Kebebasan dan Keistimewaan yang diwujudkan sendiri," jelasnya.

Pandikar berkata, selain itu, Gobind sendiri enggan mengulangi kenyataan di luar Dewan seperti yang dilaporkan media kerana tidak dilindungi imuniti seperti mana di dalam Dewan.

Sehubungan itu, katanya, ini bermakna tindakan Gobind itu hanya untuk berselindung di sebalik keistimewaannya sebagai anggota Dewan.

Justeru, menurutnya, Gobind didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat, 36 (4) bahasa kurang sopan, 36 (9) menyebut sifat dan kelakuan anggota Parlimen selain daripada menjalankan urusan, 36 (2) menyebut perkara dalam pertimbangan mahkamah, 36 (10) b dan c iaitu membangkitkan perasaan marah kepada kerajaan serta menaikkan perasaan antara kaum.

Pandikar Amin kemudian mengarahkan perbahasan diteruskan dengan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) mengambil giliran berbahas dan diikuti tiga ahli Dewan yang lain termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah Nazri selesai menggulung, Pandikar kemudian mengumumkan keputusan berkenaan pada pukul 1 petang setelah undian mulut dibuat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mempertahankan tindakannya dengan menyatakan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga dijatuhkan hukuman gantung 12 bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Sambil melahirkan kekecewaannya, Gobind berkata, tindakan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meluluskan usul tersebut adalah tidak wajar kerana enggan memberi ruang secukupnya kepada beliau untuk menjelaskan pendirian berhubung perkara itu.

''Saya rasa saya tidak buat apa-apa yang salah, kalau kita ada sesuatu yang kita nak minta penjelasan, kita minta dalam Dewan.

''Itulah yang diberikan kepada kita sebagai hak ahli Parlimen," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaffar dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Usul penggantungan Gobind dibahaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini kerana Ahli Parlimen Puchong itu menuduh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'pembunuh' pada perbahasan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 2009 di Dewan Rakyat Khamis lalu.

Nazri yang ditemui di lobi Parlimen hari ini pula menjelaskan bahawa tindakan itu wajar kerana Gobind didapati berniat jahat apabila menyatakan dakwaan itu di dalam persidangan, tetapi enggan mengulangi kenyataannya kepada media apabila berada di luar Dewan Rakyat.

Karpal pula berpendapat, penggantungan Gobind itu seharusnya dibincangkan ke forum antarabangsa seperti Kesatuan Antara Parlimen.

''Ini penting supaya dunia tahu bagaimana Parlimen di negara ini bersidang," jelasnya.

Kamarudin berkata, beliau tidak menyangka usul itu dibahaskan dalam tempoh yang amat pendek.

''Saya rasa penggantungan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi yang biasa," katanya.

- UTUSAN
www.utusan.com.my

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.