Celcom sasar pertumbuhan jalur lebar 120 peratus

Celcom (Malaysia) Bhd. menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan asas pelanggan jalur lebar sebanyak 120 peratus tahun ini melalui perkhidmatan jalur lebar mudah alih prabayar yang baru dilancarkan.

Dengan kira-kira 270,000 pelanggan jalur lebar sehingga bulan lepas, Celcom mencatatkan pertumbuhan pelanggan sebanyak 300 peratus pada 2008 berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Pegawai Operasinya, Chee Pok Jin, hari ini.

"Kami berharap dapat menyaksikan pencapaian yang lebih baik. Melihat kepada momentum pada masa ini, saya rasa pasaran jalur lebar mudah alih amat rancak dan masih boleh berkembang dengan cepat.

Jadi kami berharap dapat mengatasi angka itu," katanya selepas pelancaran pek permulaan prabayar jalur lebar baru Celcom.

Dengan liputan hampir 70 peratus kawasan berpenghuni di Malaysia, Celcom yakin pelancaran pakej prabayar baru itu akan memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia jalur lebar terunggul negara ini.

Pek permulaan baru berharga RM25 itu ditawarkan dengan kredit bernilai RM20.

Chee berkata, selaras dengan perkhidmatan baru itu, satu pakej baru, Weekly Unlimited, akan disediakan bagi pelanggan menikmati capaian Internet tanpa had selama seminggu dengan bayaran RM20.

"Ini ditawarkan sebagai tambahan kepada pakej Daily Unlimited (capaian tanpa had selama sehari) dengan bayaran RM6 bagi akses jalur lebar selama 24 jam berturut-turut," jelasnya.

Bagi memperkukuh lagi kedudukannya dalam perkhidmatan jalur lebar, Celcom akan juga memperkenal pakej baru 'semua dalam satu'. Dengan pakej ini pelanggan akan menerima komputer notebook atau netbook Hewlett-Packard serta pelan data bulanan jalur lebar Celcom dan stick Celcom-Vodafone USB.

Di bawah pakej ini, pelanggan akan membayar RM159 sebulan (bagi notebook) atau RM88 sebulan (bagi netbook), kata Chee.

- BERNAMA Celcom sasar pertumbuhan jalur lebar 120 peratus

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.