Adlin, Shahira dipilih pengacara ABPBH08


Pelakon, pelawak berpengalaman dan pengarah teater muzikal, Sharifah Shahira dan Adlin Aman Ramli, dipilih penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 untuk mengendalikan acara berprestij itu tahun ini.

Selain itu dua nama besar dalam industri muzik tempatan iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir disenaraikan antara artis yang akan membuat persembahan di majlis yang bakal berlangsung pada 12 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang.

Pada sidang akhbar mengumumkan tema majlis, pengacara, penyanyi dan penyampai anugerah yang diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses, di sini, semalam, Pengerusi Pengelola ABPBH 2008, Hanizam Abdullah menjelaskan pemilihan itu dibuat agar acara itu mempunyai kelainan.

“Bukan mudah untuk mencari pengacara bagi mengendalikan ABPBH 2008. Kami sudah merancang untuk menggunakan khidmat Adlin sebelum dia ditawar mengendalikan Anugerah Skrin tahun lalu. Dan dia sudah pun membuktikan mampu mengendalikan acara besar.

“Shahira pada saya, bukan saja cantik tetapi berbakat dalam bidang pengacaraan dan selalunya corak persembahan diberikan begitu bersahaja. Kami melihat kedua-dua mereka ini mempunyai kelebihan untuk mengendalikan ABPBH tahun ini,” katanya.

Selain itu jelas Hanizam, kedua-dua artis berpengalaman ini dipilih bagi mewujudkan keseimbangan memandangkan sebelum ini ABPBH sering menggandingkan pengacara wanita seperti Raja Azura dan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Turut diumumkan tema majlis iaitu Sentuhan Tenun. Artis lain yang akan membuat persembahan ialah Anita Sarawak, Datuk A Rahman Hassan, Aizat, Kumpulan Hujan, Diddy, Siti Sarah, Jamal Abdillah, Ayu, Kumpulan Kristal, Jeffrydin, L Ramlee dan Stacy.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

- BERITA HARIAN
www.bharian.com.my

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.