Tidak taat kepada raja adalah derhaka - Mufti Perak


Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sesiapa sahaja yang tidak taat kepada pemerintah ataupun raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka.

Katanya, di dalam al-Quran jelas menyuruh umat Islam supaya sentiasa taat kepada Allah, rasul dan pemerintah iaitu raja.

''Raja yang adil dan bijaksana dalam melaksanakan tugas demi kepentingan umat Islam asalkan tidak bertentangan dengan syariat, wajib dihormati.

''Oleh itu, kita wajib menghormatinya selama mana raja itu memerintah di sesebuah negeri itu," kata beliau ketika dihubungi di Perak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam yang enggan meletak jawatan walaupun dititah oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Mohammad Nizar enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandang secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, seseorang yang tidak taat kepada raja selagi raja itu tidak melakukan perkara yang dilarang, bererti derhaka.

''Kita juga diwajibkan taat kepada ibu bapa serta guru dan jika tidak taat itu bererti menderhaka kepada mereka," katanya.

- BERNAMA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.