Sokongan biar bertempat

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Terpengun melihat pendirian serta kesungguhan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraidah Kamaruddin semalam ketika mengulas isu gambar bogel Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Dengan nada tegas, tanpa berselindung dan berani, beliau mempertahankan 'tragedi' gambar bogel rakannya yang sedikit menggemparkan politik tanah air sehingga mengheret satu lagi teori konspirasi.

Ketika Naib Presiden Pas menyifatkan pendedahan salah laku moral adalah baik untuk membolehkan langkah pembetulan, nada Zuraidah kedengaran berbeza.

Sebelum Zuraidah bersuara, Elizabeth yang muncul pada sidang akhbar khas untuk mempertahankan gambar tersebut menyifatkan perbuatan mengedarkan gambar itu sebagai mengganggu privasi serta hak seksualitinya sebagai wanita bujang.

Tidak disentuh langsung sama ada perbuatan merakamkan gambar tersebut dengan keizinan atau dilakukan oleh 'si penceroboh' tanpa beliau sedari.

Kita tentu tidak lupa kes Nasha Aziz. Aksi-aksi beliau tidak lengkap berpakaian ketika di dalam rumah dirakam secara sembunyi dan diedarkan kepada umum. Bagi artis itu, perbuatan si pencerboboh jelas mengganggu privasi lantaran aksinya dirakam tanpa diketahui jauh sekali memberi keizinan. Sebab itu Nasha tegar membawa kes tersebut ke mahkamah.

Dalam kes Elizabeth - status 'si penceroboh' tidak diketahui, begitu juga sama ada beliau memberi izin atau mengetahui gambarnya diambil dan untuk apa - mungkin untuk tatapan/simpanan peribadi dan dijadikan kenang-kenangan.

Wakil rakyat itu juga tidak menyatakan hasratnya untuk mengheret si pelaku ke mahkamah kerana mengganggu privasinya. Yang ditekankan oleh Elizabeth ialah pengedaran gambar tersebut kepada umum bertentangan dengan hak privasi serta seksualitinya sebagai wanita bujang.

Seolah-olah rumusan beliau ialah wanita bujang bebas berbuat demikian. Tidak timbul soal pelanggaran moral dalam isu itu kerana sebagai wanita bujang, Elizabeth melihat adalah menjadi haknya untuk beraksi seperti itu.

Soal siapa yang mengambil gambar itu juga dilihat tidak penting. Apatah lagi agama yang dianuti Elizabeth mungkin tidak mengehadkan perlakuan seperti itu.

Namun untuk pemimpin wanita Islam dan Melayu memberi sokongan dan mempertahankan apa yang berlaku tentulah sesuatu yang tidak enak dilihat dan didengar. Ini kerana salah laku moral biar melibatkan sesiapapun tanpa mengira bangsa dan agama, tidak boleh dipandang ringan.

Apatah lagi jika perlakuan itu melibatkan barisan pemimpin yang memikul amanah serta tanggungjawab rakyat. Apa pandangan rakyat khususnya pengundi yang telah memangkah wakil rakyat tersebut yang ketika itu dilihat bersih terutama daripada segi moralnya.

Telah banyak isu rakaman gambar bogel melibatkan artis dan orang perseorangan didedahkan kepada umum. Reaksi yang diterima (terutama melibatkan orang yang ada 'nama') ialah meminta maaf dan mengakui tidak sepatutnya melakukan perkara yang menyanggah moral.

Tidak timbul soal tidak simpati wanita kepada wanita dalam hal ini. Dalam hal pengedaran gambar seperti ini sememangnya kita amat bersimpati kerana imej, reputasi serta kedudukan Elizabeth nyata terjejas. Tetapi simpati tidak bermakna kita mesti bersetuju apatah lagi jika perlakuan itu bertentangan dengan nilai agama serta moral manusia.

Wanita di Malaysia pernah bersimpati dengan nasib seorang artis (dia dan pasangannya masih bujang ketika itu) apabila video adegan seks untuk simpanan peribadi disebar luas oleh individu tidak bertanggungjawab. Pasangan tersebut terpaksa menanggung malu sehingga terpaksa berhijrah. Tetapi adakah sematamata kerana bersimpati maka kita mesti bersetuju dan menyokong perlakuan tersebut? Jawapannya sama sekali tidak. Sokongan biar bertempat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.