Sitkom Hartamas popularkan kawasan elit Hartamas


Jika Hollywood pernah menerbitkan drama-drama bersiri bertemakan kehidupan penghuni kawasan kediaman golongan elit

seperti Dallas dan Santa Barbara pada tahun 1980-an, drama tempatan juga tidak ketinggalan menelusuri resipi yang hampir sama.

Sitkom berjudul Hartamas terbitan terbaru ntv7 pula misalnya, cuba mengetengahkan gaya dan rencah kehidupan sebuah keluarga yang mendiami kawasan elit di Sri Hartamas, Kuala Lumpur (KL).

Menurut pengarah Hartamas, Kabir Bhatia, bandar yang terletak di pinggir KL itu digunakan sebagai latar tempat penceritaan dalam sitkom tersebut kerana kepesatan lokasinya yang boleh dikatakan agak popular serta mewakili golongan urban di negara ini.

"Bagi saya, Hartamas sebuah tempatan yang menarik untuk diketenghkan. Ia merupakan antara kawasan kediaman yang semakin pesat membangun. Malah, Hartamas juga semakin popular di kalangan warga KL.

"Hartamas juga merupakan kawasan yang popular di kalangan orang yang sudah berkeluarga di mana mereka juga mempunyai gaya hidup yang tersendiri," katanya pada sidang media di restoran Modesto, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Siri Hartamas yang disiarkan setiap Ahad pukul 8.30 malam mulai 8 Februari lalu kata Khabir, mempunyai banyak kelainan disamping elemen-elemen yang mencuit hati dengan memaparkan gaya hidup keluarga golongan elit.

Paparan itu jelasnya, dapat dilihat menerusi watak Johari iaitu seorang akauntan lakonan Rashidi Ishak yang bertemu jodoh dengan pereka fesyen, Amelia (lakonan Ida Nerina) di mana mereka masing-masing mempunyai seorang anak bernama Edrina dan Juita.

"Gaya hidup moden dan urban sebagai latar penceritaan sitkom ini. Tetapi intipati cerita Hartamas adalah tentang empat watak utama sitkom ini iaitu Johari, Amelia, Edrina dan Juita yang mempunyai karakter berbeza.

"Pelbagai kejadian mencuit hati dipaparkan kepada para penonton sewaktu mereka berempat menjalani kehidupan masing-masing. Gaya lakonan mereka juga berbeza tidak seperti dalam sitkom-sitkom lain," ujarnya.

Penulis skrip Hartamas, Alfie Palermo turut bersetuju dengan Kabir di mana sitkom itu menampilkan perwatakan, bentuk lakonan dan gaya hidup yang secara tidak langsung mewakili golongan elit yang mendiami kawasan perumahan popular tersebut.

Jelas Alfie, dia tidak meniru mana-mana sitkom terutamanya yang pernah dihasilkan di Hollywood, sebaliknya idea menghasilkan skrip Hartamas berdasarkan pengalaman serta pengamatannya sendiri.

"Segala idea datangnya daripada diri saya sendiri di mana saya cuba menggambarkan tentang gaya kehidupan yang berlaku dalam sesebuah kawasan penempatan urban di pinggir bandar seperti Kuala Lumpur.

"Mungkin gaya lakonan dan paparan kehidupan seperti dalam Hartamas sesuatu yang baru dalam industri penerbitan sitkom di negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul pula berkata, Hartamas diterbitkan kerana ia bersesuaian dengan konsep saluran TV itu yang lebih menjurus untuk selera tontonan golongan penonton kawasan-kawasan bandar.

Apatah lagi katanya, Hartamas merupakan sebuah komedi ringan yang bukan sahaja mampu memberi gambaran sedikit sebanyak tentang gaya kehidupan moden dan ceria golongan elit yang mendiami kawasan-kawasan kediaman seperti itu.

"Memang sasaran penonton ntv7 adalah golongan penonton kawasan-kawasan bandar. Walaupun gaya kehidupan yang dipaparkan moden tetapi ia masih berada dalam lingkungan batas susila rakyat Malaysia," komennya.

Selain Rashidi Ishak dan Ida Nerina, Hartamas turut dilakonkan oleh Faezah Elai yang melakonkan watak Edrina dan Diana Rusdi sebagai Juita.

Pada sidang media itu, penyanyi Dina yang merupakan finalis pertandingan nyanyian One In A Million telah dijemput menyanyikan lagu tema sitkom itu yang berjudul Satu Untuk Diriku.

Hartamas mengisahkan tentang Johari serta Amelia iaitu pasangan duda dan janda yang berkenalan melalui Internet hingga bertemu jodoh telah memilih untuk tinggal di Hartamas.

Pasangan itu turut membawa anak perempuan masing-masing iaitu Edrina dan Juita tinggal bersama-sama mereka. Personaliti yang berbeza di antara Juita dan Edrina telah mencetuskan banyak kelainan tetapi dalam suasana lucu.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.