Nik Aziz tak setuju Nizar jadi calon

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan mencalonkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Beliau yang masih menganggap Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak tidak yakin Mohammad Nizar mampu melaksanakan dua tugas secara serentak kerana ia satu beban dan tanggungjawab yang besar.

"Saya memang tidak boleh terima seorang Menteri Besar ambil tugas Ahli Parlimen juga kecuali dia bukan Menteri Besar, baru boleh ambil dua-dua.

"Kita tengok contoh Datuk Asri Muda seorang yang pintar dan gagah dalam politik tapi pengaruh dia semakin merosot di Kelantan sebab tidak mampu melaksanakan dua tugas serentak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan beberapa pihak supaya Mohammad Nizar dipilih sebagai calon Pas untuk Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum.

Roslan, 50, meninggal dunia akibat serangan jantung semasa menunggang basikal di Batu Gajah, Perak kira-kira pagi semalam.

Mengenai peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam disebabkan isu moral yang boleh menjejaskan peluang pakatan pembangkang, Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata:

"Saya baca laporan pagi ini, saya puji beliau meletakkan jawatan kerana beliau sebut tawaran diberi tetapi dia tolak, disebabkan itu dia dikenakan pelbagai ancaman terhadap diri dan keluarganya.

"Ancaman yang teruk ini mungkin menyebabkan beliau tidak tahan sehingga terpaksa mengambil keputusan meletakkan jawatan dan memberi peluang semula kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka."

Ditanya adakah beliau bersetuju, sebagai pemimpin dan pejuang Arumugam tidak sepatutnya meletakkan jawatan yang diamanahkan rakyat kepadanya kerana ancaman tersebut, beliau berkata:

"Letak jawatan memang dukacita tetapi kalau tidak tahan dengan ugutan terhadap diri dan keluarga mana boleh tahan, boleh jadi bekas ADUN ini tidak biasa dengan perkara dengan begini."

- UTUSAN Nik Aziz tak setuju Nizar jadi calon

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.