Muktamad LCCT Labu tidak jadi – Najib

Sudah muktamad! Cadangan pembinaan terminal syarikat penerbangan tambang murah (LCCT) baru di Labu, Negeri Sembilan tidak boleh diteruskan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

‘‘Kita sudah membuat keputusan. Projek LCCT tidak boleh diteruskan,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita selepas mesyuarat khas Menteri-Menteri Kewangan ASEAN+3 di pulau peranginan di selatan Thailand hari ini.

Najib berkata, projek itu tidak boleh diteruskan kerana cadangan asal ialah konglomerat Sime Darby tidak akan menanggung kos pembinaan infrastruktur, sebaliknya akan menjual tanah kepada pihak yang membina, misalnya Malaysia Airports Berhad.

Kos pembinaan infrastruktur LCCT tersebut bernilai RM800 juta.

‘‘Saya sudah mendapat pengesahan daripada Sime Darby secara hitam putih mengenai perkara ini. Jadi jika mereka tidak memberi sumbangan, maka tidak ada asaslah projek ini hendak dipertimbangkan,” kata Najib.

Projek LCCT yang baru, ujar beliau lagi, akan dibina dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Cuma yang masih dalam rundingan kini, kata Timbalan Perdana Menteri ialah kaedah-kaedah pelaksanaan projek termasuk permintaan AirAsia terhadap LCCT yang baru merangkumi soal caj meletak pesawat dan sebagainya.

Najib diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob kelmarin, bahawa cadangan pembinaan LCCT baru di Labu masih dalam perbincangan antara kerajaan dan pihak berkaitan.

Dr. Sulaiman berkata, kerajaan telah meluluskan projek itu secara dasar kerana ia melihatnya sebagai satu bentuk pelaburan sektor swasta tetapi terdapat keperluan bagi pihak berkenaan mengkaji perkara itu berhubung semua aspek teknikal dan keselamatan.

“Ini mestilah dilakukan dan Kementerian Pengangkutan berunding daripada segi kehendak teknikal. Sehingga atau kecuali semua ini diselesaikan, kita tidak boleh lakukannya,” kata beliau selepas menyampaikan ceramah mengenai status semasa cadangan untuk mendirikan LCCT baru itu.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keputusan muktamad belum dibuat mengenai sama ada untuk meneruskan atau membatalkan cadangan mengenai LCCT itu.

- UTUSAN Muktamad LCCT Labu tidak jadi – Najib

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.