Komentar - Perbuatan derhaka runtuhkan prinsip Rukun Negara

Percaturan politik hidup dan mati pakatan pembangkang di negeri Perak semakin kalut.
Umpama senjata makan tuan, kemelut yang cuba dicetuskan oleh pakatan pembangkang pertengahan tahun lalu tiba-tiba meletus di Perak.

Sememangnya perkembangan itu memeranjatkan banyak pihak. Tumpuan dan minat penganalisis politik tertumpu di negeri yang sarat dengan polemik sejak berlabuhnya tirai 8 Mac tahun lalu.

Manakan tidak, ketika pakatan pembangkang heboh memancing undi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tanpa mempedulikan ribut dan taufan - tidak ada bunyi pun tindakan itu membelakangkan rakyat.

Ketika itu 16 September 2008 menjadi sasaran - kononnya pakatan pembangkang bakal mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Kaedah yang digunakan ialah menawarkan wakil rakyat BN melompat parti - tolak tepi soal pilihan rakyat asalkan hajat mereka tertunai.

Tetapi mimpi tinggal mimpi. Lebih parah lagi apabila mimpi itu berkecai menjadi igauan ngeri semalam apabila kerajaan negeri ditumbangkan tatkala hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Umpama pasangan sedang berbulan madu, kasih yang baru dipupuk terpaksa dilepaskan gara-gara wujud keraguan yang sememangnya tidak boleh ditutup lagi.

Banyak yang tidak kena di mata rakyat sejak kerajaan campuran memerintah negeri itu dengan siri 'penderhakaan' terhadap istana dilontarkan tanpa perlu berselindung.

Klimaksnya adalah semalam. Apabila bekas peneraju negeri itu Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memohon untuk 'derhaka'.

Kita merujuk istilah 'mohon' untuk melakukan sesuatu tindakan secara tertib - namun dalam kes bekas Menteri Besar Perak itu, ketertiban adalah untuk menderhaka.

Dua istilah yang jauh bertentangan lantaran menderhaka (dalam kes ini kepada sultan) amat disanggah dalam budaya Melayu. Jadi mengapa perlu bersopan santun untuk melakukan tindakan yang bukan saja tidak sopan malah amat menghina institusi raja.

Bukankah ia juga menunjukkan betapa ada permainan yang tidak direstui di situ. Dan 'derhaka' kali ini sama sekali tidak boleh disamakan dengan derhakanya Hang Jebat. Jebat derhaka kerana menyangka rakan karibnya Hang Tuah dibunuh oleh Sultan Melaka - manakala Mohammad Nizar 'mohon menderhaka' kerana menuntut sesuatu yang bukan lagi menjadi miliknya.

Dalam keadaan BN memiliki majoriti mudah di Perak, apa pun hujah bekas Menteri Besar, barisan pemimpin pembangkang dan juga bijak pandai undang-undang, tidak mewajarkan mereka menderhaka terhadap sultan.

Hakikatnya istilah 'menderhaka' bukan kali pertama dalam kes negeri Perak sejak 11 bulan lalu. Hubungan barisan pemimpin negeri itu dengan istana biarpun dilihat tiada cacat-celanya namun sering saja 'terganggu'.

Siri 'penderhakaan' itu tidak menunggu lama untuk mengambil tempat. Proses pelantikan menteri besar itu menjadi kelam kabut sehingga menuntut istana memberi kata dua.

Begitu juga dengan perkembangan hari demi hari di Perak yang mencabar bukan sahaja mencabar istana malah menyentuh isi hati umat Melayu beragama Islam.

Sultan pernah diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan Jabatan Agama Islam Perak. Sedangkan sultan yang diberi kata dua oleh peguam hebat di negara ini bukan calang-calang sultan. Baginda adalah sultan yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara.

Semestinya soal undang-undang tidak asing malah baginda sebati dengan sektor itu.

Sebab itu apabila timbul soal kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri, yang mula-mula melangkaui kehendak undang-undang ialah Mohammad Nizar sendiri.

Beliau mengumumkan pembubaran DUN sedangkan perkenan sultan belum diperoleh. Di situ ada kecerdikan - bubar untuk gagalkan undi tidak percaya - dan keegoan/kebodohan - kerana membelakangkan istana.

Penderhakaan diteruskan lagi apabila tindakan mahu menyaman sultan diuar-uarkan (Karpal Singh), dinafikan (Anwar Ibrahim) dan tidak diketahui (Mohammad Nizar).

Mengapa kecelaruan dan ketidaksopanan terhadap institusi raja dibincangkan secara terbuka sedemikian rupa sedangkan tiang kedua Rukun Negara adalah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Dan apabila tiang kedua runtuh maka musnahlah konsep serta hasrat suci mewujudkan asas pembentukan negara Malaysia yang dihormati.

Akibat penderhakaan sama ada secara terbuka atau tertutup itu - mengakibatkan ada pihak yang rugi. Menyedihkan apabila kerugian itu tidak boleh ditebus lagi.

Misalnya dalam isu penyerahan hak milik kekal tanah kampung baru dan kampung tersusun - air mata darah sekali pun tidak boleh mengubah keadaan itu.

Tersungkurnya kerajaan pakatan pembangkang meninggalkan warisan yang semestinya berkait rapat dengan rasa terkilan sampai bila-bila sama seperti juga status hak milik kekal.

Pengajaran penting - hendak menubuhkan kerajaan kalut, sudah tumbang pun lagi kalut. Kesimpulannya - pemerintahan kerajaan campuran di Perak yang berusia 11 bulan itu sarat dengan kekalutan.

Rakyat mesti berfikir dan membuat penilaian. Komentar - Perbuatan derhaka runtuhkan prinsip Rukun Negara

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.