Kisah Nabi Yusuf iktibar jaga persaudaraan

Punca kemelut dalam keluarga Nabi Yakub A.S disebabkan keistimewaan yang diterima Nabi Yusuf dan adiknya, Bunyamin daripada bapa mereka sehingga lahir rasa iri hati dan ketidakpuasan 10 saudara mereka yang lain.

Al-Quran merakamkan maksudnya: "(Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata." (Surah Yusuf: 8)

Yusuf dan Bunyamin anak daripada isteri Nabi Yakub bernama Rahil. Ibnu Kathir dalam kitabnya, Qisas al-Anbiya mengulas ayat di atas dengan berkata:

"Selanjutnya Dia (Allah) menceritakan perasaan dengki saudara Yusuf terhadapnya dan Bunyamin yang mendapat perhatian lebih banyak daripada orang tuanya berbanding mereka, padahal mereka satu kumpulan yang kuat. Mereka mengatakan: "Padahal kami lebih berhak dicintai dan disayangi daripada kedua-dua mereka, sesungguhnya bapa kami dalam keadaan tidak adil yang nyata," iaitu kerana dia lebih mencintai dan menyayangi Yusuf dan Bunyamin daripada kami."

Nabi Yakub mempunyai sebab untuk lebih mencintai dan menyayangi Yusuf yakni maksudnya: "(Ingatlah peristiwa) tatkala Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku." (Surah Yusuf: 4) Menurut Yakub, ayat ini tanda Yusuf akan menjadi nabi dan rasul. Oleh itu, Baginda selalu menjaga dan memelihara Yusuf.

Kisah dengki antara keluarga ini menjadi punca dimasukkannya Surah Yusuf dalam senarai 114 surah al-Quran. Menurut Ibnu 'Abbas RA bahawa sahabat meminta kepada Rasulullah SAW menceritakan (sesuatu yang memberi pengajaran), lalu turun ayat suci yang menceritakan perihal Nabi Yusuf AS.

Dalam surah ini ada kisah yang amat indah susunannya, amat benar kandungannya dan penuh hikmat serta pengajaran yang memberi iktibar. Ibnu Kathir dalam kitab yang sama menyatakan: "Berkaitan dengan keistimewaan Nabi Yusuf AS dan pelbagai peristiwa yang dialaminya, Allah menurunkan satu surah al-Quran. Perkara ini dimaksudkan agar semua hal yang dikandungnya terdiri daripada hikmat, nasihat, etika dan pelbagai kebijaksanaan dapat diambil dan dimanfaatkan kaum Muslimin."

Kedengkian saudara sebapa Yusuf itu menjadi punca wujudnya konspirasi untuk membunuh Yusuf. "(Ramai antara mereka berkata: "Bunuhlah Yusuf atau buang dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang yang baik dan berguna," maksud ayat 9 Surah Yusuf.

Mereka tiada pilihan dan jalan penyelesaian kecuali menyingkirkan Yusuf. Akhirnya konspirasi dilaksanakan, maka terjadi episod drama keluarga yang paling autentik kebenarannya dalam sejarah kemanusiaan. Al-Quran menyatakan maksudnya: "Selepas mereka pergi dengan membawanya bersama dan mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan Kami pula ilhamkan kepadanya: "Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan selamat, dan) akan memberitahu perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak teringat lagi kepadanya)." (Surah Yusuf: 15)

Ibnu Abbas berkata: "Kelak engkau pasti akan menceritakan peristiwa ini kepada mereka pada saat mereka tidak mengenal mu lagi," dan Nabi Yusuf sudah mempunyai kedudukan sangat mulia sebagai penguasa.

Dalam ayat berikutnya dinyatakan maksudnya: "Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil menangis."

Sesungguhnya ia satu episod konspirasi yang sempurna. Mereka membuang Yusuf ke dalam perigi, menunggu hingga senja berpura-pura menangis ketika berjumpa bapa mereka. Oleh itu, seperti dikatakan Ibnu Kathir, orang salaf pernah berkata, "Jangan kalian terpedaya oleh tangan orang yang berbuat zalim, berapa ramai pelaku kezaliman menampakkan diri dengan tangisan."

Dalam kisah Yusuf bersaudara kita perhatikan bagaimana saudara memfitnah dan mencederakan saudaranya sendiri disebabkan penyakit dengki yang dialami hati saudara Yusuf. Kisah ini berlangsung berdekad lamanya sehingga ke suatu masa apabila al-Quran menerangkan maksudnya: "Maka tatkala mereka (Nabi Yakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya-Allah kamu berada di dalam aman." (Surah Yusuf: 99)

Nabi Yusuf memaafkan perbuatan saudaranya dengan katanya bermaksud: "Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (mengenai perbuatan kamu yang terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu dan Dialah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani." (Surah Yusuf: 92)

Saling memaafkan perbuatan yang patut dilakukan oleh saudara terhadap saudaranya seperti pengajaran yang kita petik daripada kisah Nabi Yusuf AS dengan saudaranya.

Dalam Islam, sebagai Muslim kita perlu selalu memancarkan wajah ceria dan riang kepada saudara Muslim kita. Senyuman kepada saudara kita adalah sedekah seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Kita perlu juga membabitkan saudara Muslim dalam perbincangan bersama kita, yakni dengan memberinya kesempatan menceritakan diri dan keadaannya. Tanyakan urusannya, baik yang bersifat umum mahupun khusus, selama hal itu layak untuk ditanyakan.

Selain itu, perhatikan dan bantu ia seboleh mungkin kerana ini termasuk sabda Baginda yang menyatakan bahawa siapa yang tidak memperhatikan urusan orang Muslim, maka dia tidak termasuk golongan mereka. Allah juga berfirman maksudnya: "Orang beriman baik lelaki mahupun perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian lainnya." (Surah al-Taubah: 71)

Termasuk perkara yang dapat membahagiakan saudara sesama Muslim kita juga adalah tidak mengungkit keburukannya masa lalu dan tidak melukai perasaannya ketika bergurau kerana ajaran Islam mengajarkan "Janganlah anda bertengkar dengan saudara anda (sesama Muslim); jangan anda bergurau dengannya dengan gurau yang dapat menyakiti perasaannya; dan janganlah membuat janji dengannya sedang anda mengingkarinya." Kisah Nabi Yusuf AS dengan saudaranya berakhir dengan suasana gembira dan dijadikan iktibar oleh Allah untuk berinteraksi dengan saudara sesama Muslim kerana kita bersaudara.

Adakah kita akan mengikuti jalan kisahnya untuk menzalimi saudara kita dulu kemudian bertaubat atau kita terus berbuat baik terhadap mereka kerana siapa yang menjamin kita akan bertaubat kelak? Wallahu a'lam. Kisah Nabi Yusuf iktibar jaga persaudaraan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.