Kes Kugan yang dipolitikkan: 17 NGO sokong polis

Ketika polis dibidas teruk oleh segelintir individu dan ahli politik khususnya pembangkang dalam isu kematian suspek curi kereta mewah, A. Kugan, 17 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil memberi sokongan kepada pasukan itu.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan itu melahirkan keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap keupayaan polis untuk menangani kes kematian suspek curi kereta mewah itu.

Malah, mereka percaya polis mampu menangani kes ini dengan telus dan adil.

Penasihat undang-undang kepada gabungan NGO itu, Datuk Theng Book berkata, orang ramai perlu menghentikan segala spekulasi mengenai kematian Kugan.

“Pemimpin politik tidak perlulah menggembar-gemburkan isu ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan bahawa suspek jenayah mempunyai kekebalan dari segi undang-undang.

“Pemahaman sedemikian boleh dieksploitasi. Ini akan membawa kepada peningkatan jenayah dan kecenderungan untuk menjadi penjenayah,” katanya pada sidang akhbar yang dihadiri kira-kira 100 ahli gabungan NGO itu di Pusat Bandar Puchong dekat sini, hari ini.

Beliau yang mewakili gabungan itu yakin keputusan siasatan kes Kugan dapat dibuat secara adil dan saksama bagi memuaskan hati semua pihak.

Kugan, suspek kes curi kereta mewah yang ditahan polis pada 15 Januari lalu, meninggal dunia ketika berada dalam tahanan empat hari kemudian.

Keputusan bedah siasat pertama menunjukkan mendiang mati akibat paru-paru berair.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diterima ahli keluarganya yang memohon supaya bedah siasat kali kedua diadakan. Keputusan bedah siasat itu dijangka dapat diperolehi dalam tempoh beberapa minggu ini.

Book juga meminta semua pihak bertenang menghadapi kes itu kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah memberi jaminan siasatan kes tersebut akan dijalankan secara telus.

Antara NGO yang hadir pada sidang akhbar itu ialah Persatuan Por Tor Puchong Jaya, Persatuan Penduduk Puchong Indah, Persatuan Penduduk Puchong Intan dan Persatuan Penduduk Kampung Tengah.

Persatuan Penduduk Puchong Perdana, Persatuan Penduduk Balakong, Persatuan Penduduk Pangsapuri Puchong Jaya dan Rukun Tetangga Pangsapuri Puchong Jaya.

Persatuan Penduduk Pusat Bandar Puchong, Persatuan Penduduk Sungai Besi Indah, Persatuan Penjaja Pasar Pagi Puchong Indah, Persatuan Tarian Singa Balakong, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Puchong, Persatuan Penganut Dewa Cheng Nam Tin, Persatuan Penganut Zheng Yuan Puchong Selatan dan Persatuan Buddhist Batu 14, Puchong.

Book juga meminta ahli-ahli politik tidak memperbesarkan isu kematian ini kerana ia boleh mewujudkan perpecahan kaum.

“Kita harus ingat, polis banyak berjasa kepada masyarakat dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam tanpa mengira waktu.

“Rakyat juga harus sedar kita masih memerlukan kewibawaan dan khidmat bakti polis untuk melindungi keselamatan orang awam,” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan sedang memantau empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor yang dikategorikan 'kawasan panas' berikutan peningkatan kes konflik perkauman sejak dua tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Muzahet Masruri berkata, berdasarkan input polis dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), negeri-negeri itu perlu diawasi dengan rapi.

Beliau berkata, berbanding negeri-negeri lain, empat negeri itu merekodkan kes-kes membabitkan konflik melibatkan kaum yang tertinggi sejak tahun 2007.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai peningkatan tersebut.

"Kita sedang bekerjasama rapat dengan polis untuk mengambil langkah paling awal dengan mewujudkan program khas bagi mengatasi konflik yang mungkin berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Tahun Baru 2009 dan Sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan dan Pengarah JPNIN Negeri, Rohani Hussain Merican.

Dr. Muzahet berkata, kementerian sedang melaksanakan tiga program khas bagi menangani isu perpaduan yang boleh mencetuskan konflik perkauman terutama di kawasan bandar.

Katanya, tiga program tersebut ialah Program Gerak Padu (PGP), Program Perdampingan Sosial (SOP) dan Kursus Mediasi kepada jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Program berkenaan, katanya, akan memberi pengetahuan serta melatih pemimpin masyarakat sebagai mediator untuk mengendalikan pengurusan kes, intervensi dan mediasi yang memerlukan tindakan segera.

"Isu perpaduan perlu menjadi keutamaan dan ini boleh dilakukan dengan mengatasi sebarang konflik yang berlaku dalam masyarakat terutamanya menyentuh soal perkauman.

"Ini adalah usaha kita untuk 'menjernihkan' kembali masyarakat serta memupuk semula nilai perpaduan kerana tanpa perpaduan, sukar untuk kita menggerakkan ekonomi negara," jelasnya.

- UTUSAN Kes Kugan yang dipolitikkan: 17 NGO sokong polis

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.