Exora nama MPV Proton


Proton Holdings Bhd. (Proton) telah melabur RM450 juta untuk membangunkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dikenali sebagai Proton Exora.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, daripada jumlah itu, RM60 juta hingga RM70 juta diperuntukkan untuk pengubahsuaian kilang pengeluarannya di Shah Alam, Selangor agar mampu mengeluarkan MPV tersebut.

Beliau berkata, buat masa ini proses pengeluaran MPV di kilang itu masih di peringkat percubaan dan pengeluaran Proton Exora akan dimulakan bulan depan.

''Kapasiti pengeluaran awal MPV adalah sebanyak 3,000 buah hingga 3,500 buah sebulan, kami menjangkakan jumlah ini akan bertambah pada masa depan seiring dengan permintaan pengguna,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menamakan MPV Proton dan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Menamakan MPV, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.

Ditanya mengenai model Proton yang sebelum ini sinonim menggunakan nama-nama Melayu seperti Waja, Wira, Persona dan Saga, beliau berkata, pemilihan Exora adalah bertepatan dengan misi syarikat untuk menjadikan ia memiliki ciri-ciri produk global.

''Kami tidak bimbang untuk memilih Exora kerana ia disasarkan untuk pasaran global, pasaran domestik negara adalah kecil jadi setelah mengambil kira kelangsungan hidup masa depan Proton, kami perlu memikirkan ke arah melepasi sempadan,'' jelasnya.

Menurut beliau, selepas pelancaran Proton Exora di pasaran tempatan pada bulan April ini, kenderaan berkenaan akan mula dieksport ke Indonesia dan Thailand bermula Julai ini.

Ditanya mengenai sasaran syarikat terhadap penempahan yang akan diterima selepas ia mula dibuka kepada umum pada 21 Februari ini, beliau berkata, pihaknya yakin Exora akan mendapat sambutan memberangsangkan kerana kehadirannya sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat negara ini.

''Sememangnya kami mahu melihat jumlah jualan yang besar bagi model ini tetapi ia masih bergantung kepada harga yang tepat, sebab itulah kami tidak mahu meletakkan harga yang terlalu tinggi,'' jelasnya.

Proton Exora dijangka ditawarkan pada harga antara RM70,000 hingga RM80,000 sebuah.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pemilihan Exora dibuat berdasarkan nama saintifik Bunga Siantan iaitu Ixora Fistula yang mana bunganya mengembang secara dalam kumpulan.

''Nama ini sesuai dengan semangat para pengguna Proton Exora yang akan menaikinya bersama-sama ahli keluarga seiring keserasian cogankata yang digunakan bagi kenderaan tersebut, 'keriangan keluarga','' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemilihan nama MPV Proton dan penyampaian hadiah kepada Peraduan Menamakan MPV, di sini hari ini

Syed Zainal Abidin menjelaskan Proton Exora yang akan ditawarkan pada harga kurang RM80,000 itu boleh ditempah mulai 21 Februari ini di kesemua 293 rangkaian Proton Edar dan EON di seluruh negara dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM1,000.

''Pengguna yang membuat tempahan MPV bermula Sabtu ini akan menerima penghantarannya pada bulan April ini,'' jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, pembeli boleh memilih lima warna iaitu Genetic Silver, Tranquility Black, Blue Haze, Pyrite Brown dan Gaia Blue.

Mengulas tentang Peraduan Menamakan MPV yang bermula pada bulan September tahun lalu, Syed Zainal Abidin menjelaskan, Proton menerima 251,763 penyertaan yang mana 84 peratus diperoleh melalui dalam talian manakala bakinya adalah mesej pesanan ringkas (SMS).

''Daripada jumlah itu, 39 penyertaan yang serupa menamakan Exora telah diterima tetapi hanya tiga pemenang utama dengan cogankata terbaik yang berasaskan kepada cogankata kenderaan itu sahaja akan dipilih,'' jelasnya.

Pemenang utama peraduan itu ialah guru pelatih Institut Perguruan Darul Aman, Jitra, Norsholihan Abd. Eanich, 29, dari Changlun Kedah yang akan membawa pulang sebuah MPV Proton Exora pada hari pelancaran kenderaan tersebut pada bulan April ini.

Dua pemenang lain pula ialah Rashidi Tokiman, 31, dari Kluang, Johor dan Ros Hamdi Ismail, 25, yang mana kedua-dua mereka masing-masing memenangi pakej perjalanan ke United Kingdom untuk dua orang bernilai RM15,000.

Sementara itu, Norsholihan yang ditemui selepas majlis berkenaan berkata, beliau dan suaminya yang juga seorang guru, Zulkhairul Yahya, 29, telah berazam untuk memenangi hadiah utama peraduan itu.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka menghantar lima penyertaan yang mana empat daripadanya dihantar oleh suaminya manakala Norsholihan menghantar satu penyertaan.

''Idea untuk menggunakan nama Exora datang dengan sekelip mata di saat-saat akhir menghantar penyertaan tersebut, saya tidak membuat sebarang rujukan atau kajian mendalam mengenainya.

''Saya benar-benar tidak sangka penyertaan saya terpilih, kami akan menggunakan MPV itu sebagai kenderaan keluarga,'' tambah beliau.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.