Beri khidmat terbaik - Zambry


Selepas enam hari mengangkat sumpah, Menteri Besar Perak ke-11, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini secara rasmi memasuki Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Beliau tiba di bangunan pentadbiran kerajaan negeri kira-kira pukul 10 pagi diiringi barisan Exco yang mengangkat sumpah semalam dengan menggunakan kereta peribadi masing-masing.

Ketibaannya disambut mesra kakitangan Pejabat Menteri Besar diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Zambry pada sidang akhbarnya selepas itu mengingatkan semua Exco yang dilantik supaya bekerja keras memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan mereka tidak mempunyai masa untuk meraikan jawatan masing-masing.

"Saya ingin maklumkan bahawa dasar kerajaan negeri pada saat yang sangat penting ini ialah supaya tidak meraikan jawatan dalam bentuk keramaian semata-mata untuk menyatakan bahawa kerajaan baru telah mengambil alih.

"Apa yang penting seluruh barisan Exco dan juga penasihat yang dilantik mesti memberi komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan kerja, turun bersama-sama dengan rakyat, tidak ada masa untuk kita meraikannya," tegas beliau.

Zambry berkata, polisi kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) adalah pemerintahan untuk semua rakyat dan setiap program yang dilaksanakan akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Jelas beliau, rakyat perlu sedar bahawa polisi pakatan pembangkang sebelum ini diciplak daripada BN.

Sementara itu ditanya bila beliau akan memasuki kediaman rasmi ekoran kengganan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mengosongkan rumah tersebut, Zambry berkata, perkara itu tidak menjadi keutamaan beliau.

"Sudah berkali-kali saya nyatakan bahawa jangan kita berebut hendak jadi Menteri Besar hanya kerana mahu memiliki kediaman besar atau kereta besar.

"Saya pasti lama-kelamaan rakyat Perak akan faham dan tahu apa yang sebenarnya berlaku. Biarlah rakyat menilai," katanya.

Zambry turut menasihatkan Mohammad Nizar supaya 'tidak berperangai seperti budak-budak'.

Katanya, bekas Menteri Besar itu harus menunjukkan sikap taat setia tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Saya langsung tidak gelisah dan tertekan apabila beliau mendakwa masih menjadi Menteri Besar dan mahu kekal tinggal di kediaman rasmi itu. Beliau yang sepatutnya gelisah (kerana tidak dapat menerima kenyataan)," katanya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.