Al-Quran tidak hangus dalam kebakaran


Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menjumpai senaskhah al-Quran yang masih berada dalam keadaan baik walaupun semua barangan di sebuah bilik musnah dalam kebakaran di Taman Seroja di Kangar, Perlis awal pagi ini.

Hakimi Harun, 49, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas memeriksa sebuah bilik tingkat atas rumahnya yang terbakar awal pagi ini.

''Pada mulanya saya bersama isteri, Rasila Saad ke tingkat atas rumah untuk mencari kemungkinan ada barangan yang boleh digunakan selepas terbakar.

"Kami menjumpai senaskhah al-Quran yang tidak musnah dalam kebakaran itu sedangkan semua buku dan peralatan lain di bilik yang sama musnah sama sekali," katanya di sini hari ini.

Hakimi percaya kejadian itu merupakan tanda keagungan Allah SWT yang ditunjukkan terhadap kitab suci umat Islam.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Kangar, Mohd. Syukri Mat Zuki berkata, rumah Hakimi adalah salah satu daripada empat buah rumah teres di Taman Seroja yang dijilat api pagi tadi.

Menurutnya, kesemua empat rumah terlibat cuma musnah tingkat atas setelah pihak bomba berjaya tiba awal dan memadamkan kebakaran.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan pukul 2.26 pagi dan api berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian.

''Sebanyak tiga buah jentera bersama 13 anggota dari Balai Bomba Kangar dikejarkan ke tempat kejadian.

''Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.26 pagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Syukri, api merebak terlalu cepat apabila dinding yang dibina oleh pemaju tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan undang-undang kecil bangunan.

''Sepatutnya dinding rumah teres yang dibina perlu melepasi siling tanpa ada ruang yang membolehkan sebarang objek melaluinya.

''Kerugian dianggarkan bernilai RM140,000 dan punca kebakaran masih disiasat," ujarnya.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang dimaklumkan mengenai kejadian itu turut berkenan melawat mangsa kebakaran pagi tadi.

Baginda diiringi Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.