Utusan-Islamic Relief tubuh Dana Kemanusiaan Palestin (DAKAP)

Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini menubuhkan Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan penderitaan penduduk negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, Kumpulan Utusan berasa terpanggil untuk bersama-sama IRM membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin akibat kedurjanaan Israel.

''Ramai kanak-kanak yang tidak berdosa turut terbunuh dan ramai lagi yang cedera parah," katanya sambil menambah kehidupan berkeluarga terjejas teruk manakala tempat tinggal dimusnahkan oleh tentera Israel.

Berikutan itu, dana tersebut kelak diharap dapat membantu mengurangkan keperitan dan penderitaan rakyat Palestin untuk membina kembali kehidupan mereka, katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamed Hashim yakin rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sama ada bertindak secara individu mahupun menerusi badan-badan korporat akan bersama-sama menyumbang untuk menjayakan dana tersebut.

Sementara itu Pengurus Negara IRM, Zawahir Abdullah juga berkata, penubuhan dana berkenaan diharap dapat membantu rakyat Palestin terutamanya di Genting Gaza yang kini hidup dalam keadaan tertekan akibat serangan tentera rejim Zionis.

Katanya, mereka bukan sahaja kekurangan makanan tetapi terpaksa bergelap tanpa bekalan elektrik sejak 11 hari lalu apabila Israel melancarkan serangan bom dan kini menggempur melalui jalan darat.

''IRM mempunyai dua pejabat di Palestin iaitu satu di Semenanjung Gaza dan sebuah lagi di Tebing Barat.

''Mengikut laporan petugas-petugas kami di sana, keadaan amat getir sekali bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Zawahir memberitahu, IRM mengadakan kerjasama menubuhkan Dakap dengan Kumpulan Utusan setelah mengambil kira pengalaman syarikat akhbar ini mengendalikan Tabung Kemanusiaan Aceh Utusan-Maybank.

IRM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terbesar di dunia yang mempunyai pejabat di negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Palestin.

Menurutnya, hasil kutipan Dakap akan disalurkan kepada penduduk Palestin menggunakan sumber kepakaran IRM.

Zawahir juga berkata, IRM telah memilih Yayasan Belia Malaysia sebagai rakan yang akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membantu menjayakan kutipan bagi Dakap.

Orang ramai yang prihatin dengan nasib rakyat Palestin boleh menyalurkan sumbangan kepada Dakap iaitu:

Secara online dengan melayari laman web rasmi Islamic Relief Malaysia di www.irm.org.my.

Mendepositkan wang ke dalam akaun Islamic Relief Malaysia Berhad sama ada akaun Maybank: 5621-4270- 8704 atau akaun CIMB: 1259-0000-8040-58.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Farouq Zauji di talian 03-89486334 atau 019-3973558

- Utusan Utusan-Islamic Relief tubuh Dana Kemanusiaan Palestin (DAKAP)

1 comment... add one now

Muhammad Al Adib Muhammad Al Adib Sabtu, 17 Januari 2009 pada 10:08:00 PTG SGT
Salam.
Saya ada mengulas isu ini di blog saya;

http://www.al-adib.net/2009/01/17/kalau-tidak-upaya-menitiskan-darah-musuh/

Tajuk artikel:
KALAU TIDAK UPAYA MENITISKAN DARAH MUSUH

Silalah bertandang... Terima kasih

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.