UMNO, BN banyak berjasa

Adalah tidak wajar wakil rakyat Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti semata-mata kerana masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah juga tidak wajar bagi wakil rakyat BN mengetepikan parti ketika sokongan dan kesetiaan mereka kepada parti amat diperlukan.

''Semua wakil rakyat yang berniat meninggalkan parti mesti faham bahawa UMNO dan BN telah terlalu banyak menabur jasa kepada rakyat dan negara pada keseluruhannya,'' kata Najib.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di sini, hari ini.

Najib ditanya tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota daripada BN, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu Nasaruddin berhubung tindakan tersebut, Najib berkata, beliau tidak berbuat demikian sebaliknya akan berjumpa Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak untuk mengetahui cerita sebenar.

"Saya agak terkejut dengan perkara ini. Walaupun dua hari lalu kita ada dengar ura-ura beliau akan melompat parti, tetapi ia masih lagi memberikan kejutan kepada kita," katanya.

Ditanya adakah BN akan mengambil tindakan memujuk Nasaruddin supaya membatalkan hasratnya, Najib berkata: "Saya berharap ini boleh dilakukan.

''Tetapi nampaknya dia (Nasaruddin) bersungguh-sungguh dan sangat serius dengan tindakannya, jadi kita akan tengok apakah yang boleh dilakukan".

Sementara itu bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di sini, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menafikan ada ramai lagi ADUN yang akan meninggalkan BN.

Beliau berkata, cakap-cakap berhubung kemungkinan lebih ramai ADUN BN menyertai pembangkang hanyalah khabar angin dan tidak boleh dipercayai.

"Semua itu khabar angin sahaja, saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya.

Beliau hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat serta pemimpin kanan parti itu.

Mengulas lanjut mengenai Nasaruddin, beliau berkata, ADUN berkenaan perlu memikirkan semasak-masaknya tindakan beliau itu.

Beliau juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu langkah yang langsung tidak pernah diduga.

Katanya, beliau difahamkan ada beberapa sebab mengapa Nasaruddin mengambil tindakan sedemikian, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.

Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nasaruddin berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapten (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasaruddin memperoleh 6,556 undi.

Nasaruddin adalah wakil rakyat BN pertama menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12.

Dengan penyertaan itu, pakatan pembangkang kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin berkata, akan berlaku banyak lagi kejadian 'lompat parti' selepas tindakan ADUN Bota itu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, beliau berharap Nasaruddin akan memikirkan semula keputusannya itu dan turut mempelawa ADUN Bota menyertai beliau dalam satu perjumpaan dengan Najib.

- Utusan UMNO, BN banyak berjasa

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.