Tuntutan palsu insurans dijangka meningkat

Tuntutan palsu insurans dijangka meningkat berikutan berlakunya kegawatan ekonomi semasa, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Jangkaan itu menyebabkan pengendali insurans dan takaful kini lebih berhati-hati dalam memproses setiap tuntutan yang dikemukakan, kata beliau.

''Memang dahulu sewaktu berlaku kegawatan yang pertama pada tahun 1986, tuntutan bagi kemalangan persendirian meningkat. Kedai-kedai yang bermasalah daripada segi jualan, didapati membuat tuntutan pelbagai kes seperti kebakaran dan juga kecurian.

''Selain itu, bagi mereka atau keluarga yang perubatannya ditanggung oleh syarikat, akan mula sakit lebih kerap. Kita jangkakan keadaan akan berulang kembali seperti krisis-krisis kegawatan sebelum ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.

Syed Moheeb berkata, tindakan yang lebih teliti dalam memproses setiap permohonan tuntutan pula akan memberi kesan terhadap tahap perkhidmatan. .

Katanya, kalau sebelum ini syarikat insurans dan takaful turut melakukan pemeriksaan mengejut, kini ketelitian memproses akan dipertingkatkan bagi memastikan setiap tuntutan adalah benar-benar sahih.

Syed Moheeb menafikan bahawa tindakan seumpama itu adalah cubaan syarikat insurans dan takaful mengelak daripada membayar tuntutan yang dikemukakan.

Beliau menambah, pihaknya bersedia membayar tuntutan berkenaan selagi permohonan yang benar-benar tulen.

Katanya, pihak yang tidak berpuashati boleh mengadu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) kerana setiap syarikat insurans dan takaful terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh BNM iaitu Garis Panduan Insurans 14 yang melindungi hak pemegang polisi.

Syed Moheeb berkata, tindakan yang lebih teliti juga bertujuan mengawal kos operasi.

Beliau menambah, syarikat insurans dan takaful mula merasai impak krisis semasa kewangan dunia yang mengakibatkan pertumbuhan ekonomi tidak menggalakkan, sejak empat bulan lalu.

Katanya, terdapat beberapa syarikat insurans dan takaful tempatan yang mula membekukan pengambilan kakitangan baru sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun.

- Utusan Tuntutan palsu insurans dijangka meningkat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.