Siapakah Generasi Y itu?

Apabila Malaysiakini menyebut "BN loses out on Generation Y voters", ada teman bertanya apakah yang dimaksudkan dengan "Generation Y" atau "Generasi Y" tu. Dia pernah dengar mengenai "Gen X" Putera UMNO, tetapi tak pernah pula dengar mengenai "Gen Y". Saya hanya tersenyum. Saya tak pasti adakah Putera UMNO menggunakan istilah yang betul apabila menyebut "Gen X". Tapi, seperti biasalah. Jawapan saya mudah, "Ikut suka kamulah, labu!"

Baiklah, saya buat tutorial sikit ya. Istilah "Gen X" dan "Gen Y" ini digunakan oleh pelbagai pihak dan membawa pelbagai makna. Saya suka memetik Don Tapscott dalam bukunya "Grown Up Digital" yang membahagikan demografi penduduk Amerika Syarikat kepada beberapa kelompok:

1. Pre Baby Boom (lahir 1945 dan sebelumnya)

2. The Baby Boom (lahir antara 1946 - 1964)

Disebutkan "baby boom" kerana pada tahun-tahun tersebut kelahiran meningkat secara mendadak selepas Perang Dunia II. Sewaktu perang, pasangan menangguhkan kelahiran. Selepas perang, faham-faham sajalah.

"The baby boom" adalah generasi penyiaran (broadcasting). TV, radio dan akhbar mempengaruhi keputusan mereka.

3. The Baby Bust (lahir antara 1965 - 1976)

Selepas era "the baby boom", kadar kelahiran di Amerika Syarikat turun dengan mendadak. Terdapat pengurangan sebanyak 15% bayi yang lahir dalam tempoh itu berbanding sebelumnya.

Terma "the baby bust" tidak dikenali. Sebaliknya, istilah yang sering dipakai ialah "Generation X", mengambil tajuk novel Douglas Coupland. "X" merujuk kepada kumpulan yang terpinggir dalam masyarakat. Walaupun mereka mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding "the baby boom", Gen X sukar mendapat pekerjaan kerana ia telah diisi oleh abang dan kakak mereka dari "the baby boom".

Gen X ialah generasi internet. Generasi X menganggap internet sebagai media yang tidak memerlukan kepakaran (nonspecialist media). Sesiapa saja boleh gunakan internet dan melahirkan pandangan mereka. Media literasi bukan isu di sini.

4. The Echo of the Baby Boom (lahir antara 1977 - 1997)

Ini dikenali sebagai Gen Y. Salah satu faktor mengapa "Net Gen" kekal agak lama ialah wanita pada ketika ini memilih untuk berkeluarga dan melahirkan anak pada usia yang agak lewat, iaitu 30an atau 40an.

5. Generation Net (lahir antara 1998 hingga sekarang)

Mereka juga dikenali sebagai Gen Z. Umur mereka yang paling tua sekarang ialah 10 tahun.

* * * * *

Berikut ialah peratusan kelompok ini dalam konteks penduduk Malaysia (lihat "Buletin Perangkaan Sosial" yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia:

Pre-Baby Boom (63 tahun ke atas) - 4%
The Baby Boom (45 hingga 62 tahun) - 16%
The Baby Bust / Gen X (32 hingga 44 tahun) - 21%
The Echo of Baby Boom / Gen Y (11 hingga 31 tahun) - 21%
Generation Net / Gen Z (sehingga 10 tahun) - 38%
Antara ciri-ciri yang ketara di kalangan "Generasi X" (berumur antara 32 hingga 44 tahun) dan "Generasi Y" (berumur antara 11 hingga 31 tahun) ialah mereka inginkan kebebasan membuat pilihan dan bersuara, menghargai keterbukaan, ketelusan dan integriti, cenderung kepada "collaboration" dan hubungan antara satu sama lain; interaktif dan inginkan sesuatu secara pantas (speed).

Inilah generasi pengundi muda yang akan membuat keputusan dalam PRU13 dan PRU14.

Mana-mana parti politik yang ingin mendapat sokongan "Generasi X" dan "Generasi Y", mereka haruslah mampu memenuhi keperluan tersebut.

Persoalannya, parti manakah yang mampu memenuhi keperluan mereka dalam PRU13 nanti -- adakah Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat?

- NOBISHA Siapakah Generasi Y itu?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.