Profil kawasan Parlimen Kuala Terengganu


PARLIMEN Kuala Terengganu adalah satu daripada lapan kawasan Parlimen di Terengganu dan dianggap penting kerana menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan dua penggal lalu, Kuala Terengganu dinaik taraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air, sekali gus merancakkan pembangunannya.

Kepesatan Kuala Terengganu, yang mempunyai keluasan 60,528.1 hektar, dapat dilihat daripada segi pembangunan infrastruktur antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud (LTSM), Kompleks Sukan Gong Badak, Kampus Universiti Darul Iman (UDM), Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selain itu, Pulau Duyong kini menjadi lokasi pertandingan berprestij kejohanan kapal layar Piala Monsun yang diadakan sejak tahun 2005 manakala Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man menjadi tarikan baru pelancong.

Dua penggal sebelum ini, kerusi Parlimen itu dikuasai Pas.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum ke-11 ia kembali kepada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya Datuk Razali Ismail, bekas Pengarah Pendidikan Bahagian Guru di Kementerian Pendidikan menewaskan Dr Syed Azman Syed Nawawi daripada Pas.

Razali menang dengan majoriti 1,933 undi setelah meraih 30,994 undi berbanding Dr Syed Azman yang memperoleh 29,061 undi.

Pada Mac 2008 pula, kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila seorang nenek, Maimun Yusof, 89, atau Tok Mun turut menawar diri bertanding sekali gus menjadi calon tertua pernah bertanding pada pilihan raya di negara ini.

Razali, yang ketika itu Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menang lagi dengan majoriti 628 undi setelah memperoleh 32,562 undi berbanding Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,934) dan Maimun (685).

Kawasan Parlimen itu mempunyai 80,325 pengundi dengan majoriti pengundi Melayu sebanyak 87.4 peratus, Cina (11.6 peratus), India (0.7 peratus) dan yang lain (0.3 peratus).

Ia mempunyai empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang serta Batu Buruk yang dikuasai Pas manakala Bandar diwakili BN.

DUN Bandar, yang diwakili oleh bekas jurutera binaan, Toh Chin Yaw daripada MCA, mempunyai seramai 18,953 pengundi dengan komposisi pengundi Melayu 60.66 peratus, Cina (37.95 peratus), India (1.32 peratus) dan lain-lain 0.07 peratus.

DUN Wakaf Mempelam mempunyai 20, 573 pengundi; DUN Ladang (16,777 pengundi) dan DUN Batu Buruk (24,022 pengundi).


FAKTA: P36 Kuala Terengganu

80,229 pengundi - 88% Melayu, 11% Cina, 0.7% India, 0.3% lain-lain
4 Dewan Undangan Negeri (DUN):
Wakaf Mempelam (Pas) 20,629 pengundi
Bandar (BN-MCA) 18,833 pengundi
Ladang (Pas) 16,780 pengundi
Batu Buruk (Pas) 23,987 pengundi

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12:
1. Datuk Razali Ismail (BN-Umno) 32,562 undi
2. Mohamad Sabu (Pas) - 31,934
3. Maimum Yusof (Bebas) - 685 Majoriti - 628
Peratusan mengundi - 82.45%
Undi rosak - 931
Jumlah keluar mengundi - 66,231

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.