PNB jual lebih 10b unit saham pada 2008

Pemodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya mencatatkan jualan lebih 10 bilion unit amanah saham melalui pelaburan baru dan pelaburan semula pada tahun lepas.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, lebihan jualan berbanding pengeluaran mengukuhkan keupayaan PNB untuk menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Menurutnya, PNB pernah terkena kesan krisis kewangan tahun 1998 apabila terpaksa berdepan dengan kadar jualan balik amanah saham dari pelabur yang mencecah RM1 bilion setiap bulan.

''Kali ini tidak ada masalah, hasil peningkatan pembelian yang lebih banyak daripada pengeluaran, bahkan pada 2008 sahaja kita mencatatkan pelaburan sebanyak 10 bilion unit walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

''Kita memang sedikit sebanyak terjejas sebab pasaran seluruh dunia sedang menghadapi masalah, tetapi prestasi kita masih baik berbanding dengan keadaan pasaran di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran kuiz pelaburan PNB 2009 oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Liew Vui Keong di sini hari ini.

Hamad Kama Piah pada masa sama berharap masyarakat akan terus melabur di dalam PNB.

''Kita bagaimanapun tahu bahawa selepas musim pengumuman dividen, sesetengah orang akan keluarkan sedikit pelaburan dan yang lain membuat pelaburan semula," katanya.

Menurutnya, PNB selalu memandang berat pelaburan jangka panjang dan melihat keadaan ekonomi semasa mampu menyediakan peluang baru kepadanya.

''Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kita boleh teruskan pelaburan tertentu dan apabila keadaan pasaran dipulihkan pada masa depan, kita boleh memperoleh keuntungan daripadanya.

''Ini merupakan peluang untuk kita memilih pelaburan yang baik," katanya.

Ditanya mengenai pelaburan PNB dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), Hamad Kama Piah berkata, pihaknya akan menjalankan penstrukturan semula ke atas pelaburannya dalam syarikat yang tidak menunjukkan prestasi.

''Kita akan kekalkan pelaburan yang boleh membawa nilai kepada kita pada masa depan tetapi jika kita lihat sesuatu pelaburan itu tidak berprestasi maka kita akan mengadakan penstrukturan semula supaya ia membawa nilai yang sepatutnya kepada kita," katanya.

- Utusan PNB jual lebih 10b unit saham pada 2008

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.