Perihal putus cinta dan BMW Diana Danielle


USIA remaja bukanlah penghalang bagi si jelita, Diana Danielle Danny Beeson untuk meneruskan kerjaya seni biarpun pernah sebelum ini meluahkan hasrat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Dia yang lebih dikenali sebagai Diana Danielle baru menginjak ke angka usia 17 tahun pada 22 November lalu kini mencari arah memulakan fasa baru kehidupan sebagai seorang artis.

Bertemu si jelita ini, pada pertemuan yang diatur di lokasi filem Kecoh Betul di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada sahaja yang hendak dibualkannya.

Masakan tidak, sikapnya yang mudah mesra dan ramah pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa selesa tatkala melantunkan butir berbicara dengannya.

Jika pada penghujung tahun lalu ditempuhi dengan pelbagai cemuhan rentetan insiden pergaduhan bersama pengarah muda, Syamsul Yusof, Diana kini mahu lebih berhati-hati dalam mencari hala tuju sebagai insan seni.

Sejarah hitam yang meruntuhkan hubungan baiknya bersama anak teruna jutawan filem terkenal, Datuk Yusof Haslam itu begitu merobek hatinya.

Ada yang memberi semangat namun tidak kurang juga yang menyalahkan dirinya kerana kononnya cuba mengambil kesempatan sepanjang menjalin hubungan tersebut.

Sebagai insan biasa yang masih dikategori sebagai gadis bawah umur, siapalah dia untuk tidak berasa tertekan dengan situasi yang dilaluinya ketika itu.

Apatah lagi, dia masih terlalu hijau dalam menangani liku-liku kehidupan dunia glamor.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai gosip termasuk dikatakan bercinta dengan vokalis kumpulan Matta, dihadiahkan BMW bernilai RM500,000 dan yang terbaru dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan kerabat diraja Brunei turut meruntun jiwa remajanya.

Pada pertemuan itu, berkali-kali dia memohon agar isu peribadinya tidak dihebah dan diperbesarkan kerana baginya segala gosip yang dilemparkan tidak berasas.

"Entahlah, sebenarnya saya pening memikirkan pasal gosip. Kenapa lepas satu, timbul pula satu gosip lain yang dilemparkan kepada saya.

"Memanglah dalam dunia artis gosip dianggap satu kebiasaan tetapi kalau cerita tidak betul, orang ramai yang membaca akan buat andaian sendiri sebab mereka tidak tahu hujung pangkal cerita sebenar.

"Apa yang boleh saya harapkan sekarang, orang ramai akan faham bahawa semua itu tidak betul dan mengambil sesuatu perkara secara positif terlebih dahulu," katanya.

Mengenai kehidupannya kini, sambil menguntum senyum kata Diana, dia sudah kembali tenang.

Bagaimanapun, kata Diana sejak berlakunya insiden pergaduhan itu sehingga kini dia masih lagi sukar melelapkan mata kerana tidurnya sering terganggu setiap malam.

"Seminggu saya ambil masa untuk pulih dari trauma sehingga dinasihatkan doktor mengambil ubat penenang dan ubat tidur.

"Nasib baik selepas seminggu saya ke Indonesia untuk berbincang mengenai rakaman album dengan syarikat di sana, dapat juga saya tenangkan fikiran dan lupakan seketika tentang insiden pergaduhan itu.

"Alhamdulillah, sekarang saya tidak kerap mengambil ubat tidur dan ubat penenang kerana mama (panggilan untuk ibunya), sembunyikan sebab tidak mahu saya terus bergantung dengan ubat tersebut," kata pelakon drama bersiri Janji Diana itu lagi.

Jika tidak kuat, tentu sahaja semangatnya mudah luruh dek kerana tekanan demi tekanan yang dihadapi.

Namun, menyedari minat yang menjadi kegilaannya sedari kecil, dia cuba bangkit kembali.

Enggan mengenangkan kisah lalu, Diana berharap impiannya untuk bergelar penyanyi dalam masa terdekat dapat dipenuhi.

Menurut Diana, tahun ini merupakan tahun yang memerlukan banyak perubahan dalam dirinya terutamanya soal kerjaya.

Malah, kata Diana dia bakal merakamkan dua single yang dicipta oleh Pengarah Urusan Prima Musikindo dari Indonesia iaitu Octav Panggabean, berkonsepkan pop sebelum berangkat menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Mac depan.

Gementar menanti reaksi peminat, janji Diana, dia bakal melakukan yang terbaik sebaik sahaja peluang untuknya mula menyanyi terbuka luas.

"Sungguhpun saya tidak pernah menyanyi sebelum ini, tetapi saya masih mahu mencuba. Selain berlakon dan menjadi model, menyanyi merupakan salah satu impian saya sejak dulu lagi.

"Cuma sekarang saya sedikit gementar menanti apa reaksi para peminat terhadap lagu-lagu yang bakal dinyanyikan nanti.

"Kedua-dua lagu yang bakal saya nyanyikan itu adalah ciptaan Octav dan bukannya dicipta oleh kerabat Brunei seperti yang orang ramai sangkakan sebelum ini.

"Sebenarnya, ada juga orang kata saya tak boleh menyanyi tetapi saya anggap ia sebagai satu cabaran sebab apabila orang kata tak boleh itulah yang saya nak cuba," ujarnya sambil ketawa kecil.

Bercerita tentang filem lakonannya, Kecoh Betul, menurut Diana, ia merupakan satu cabaran baru buatnya apabila melakonkan watak antagonis yang mendedahkannya kepada karakter remaja bermasalah yang menjadi mangsa keadaan.

Selain menjadi mangsa rogol, watak Dayana yang dipegangnya membawa cabaran baru buatnya menghayati watak sebagai penjual dadah.

Ceritanya, hidup Dayana yang huru-hara atas tindak tanduk kekasihnya Rizal kembali ceria setelah bertemu Aiman (lakonan Nabil) yang menyelamatkannya daripada diragut.

Menceritakan keseronokan digandingkan dengan teruna kelahiran Negeri Sembilan iaitu Nabil, menurut Diana, biarpun sering 'terganggu' dengan telatah lucu jejaka itu namun sikap profesional mereka memudahkan urusan pengambaran untuk filem tersebut.

"Banyak yang saya pelajari daripada pelakon-pelakon senior terutamanya Datuk Aziz Sattar. Semua ilmu yang mereka beri memang amat berharga buat saya.

"Berlakon filem ini setidak-tidaknya memberikan sesuatu yang baru dalam kerjaya lakonan saya. Tidaklah nanti orang kata lakonan saya mendatar sahaja," kata Diana sambil tersenyum manis.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.